Keputusan SPM telah pun diumumkan semalam. Ada diantara mereka yang berjaya dan ada pula masih bersedih dengan keputusan yang tidak memuaskan.
Ada ibu bapa yang faham dengan situasi anak, namun ada juga yang menganggap kegagalan adalah penamat hidup anak-anak mereka.
Tahniah kami ucapkan kepada semua calon SPM, tidak kira berapa A yang korang dapat, jalan untuk korang sudah terbentang luas, pilihlah jalan yang baik dan dapat membantu serta memberi lebih banyak manfaat kepada orang lain.
Seperti pepatah orang putih, “the more you give, the more you get”
Perkongsian daripada Dr Ezairy M. Sallih melalui laman Facebook miliknya ini sangat bagus untuk dijadikan panduan adik-adik yang baru saja menamatkan zaman persekolahan dan sudah bersedia melangkah kedunia yang sebenar. Membina kerjaya agar dapat membalas jasa orang tua.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada korang dan jadikanlah ia sebagai panduan hidup.
Malam itu sepi. Badan terasa sejuk. Tiba-tiba sahaja seakan menggigil-gigil menahan dingin. Jam di dinding sudah menunjukkan ke angka satu pagi. Saya masih belum mahu melelapkan mata. Seakan segar dan sukar untuk ditutup.
Gambar Hiasan |
"Bang... Dik... Tak tidur lagi ke? Dah malam sangat ni. Esok pagi-pagi dah nak bangun," ujar si ibu. Kelihatan sangat sibuk sedari tadi menyiapkan apa-apa yang perlu.
"Abang adik takut. Risau result esok tak macam yang mama nak," luah saya. Abang mengangguk-angguk sama.
Ibu saya menarik nafas panjang, selajur melepas keluhan sedikit memberat.
"Tak apa, mama tahu abang adik dah berusaha. Abang adik dah buat yang terbaik. Jadi apa pun keputusannya nanti mama akan terima," tambahnya lagi, sekadar melegakan sekejap segala yang terbuku di hati.
Di perkarangan sekolah telah dibanjiri oleh ratusan pelajar dan ibu bapa. Kolej Islam Sultan Alam Shah ketika itu penuh dengan mereka yang akan mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Ada yang datang dari selatan tanah air, ada yang dari utara dan tidak kurang ada yang dari sebelah timur. Semuanya jauh-jauh.
Sebaik masuk ke kawasan dewan utama, beberapa meja telah siap disusun. Di atasnya tertulis nama-nama kelas. Di setiap meja, kelihatan para guru sedang sibuk mengemas-ngemas sambil memeriksa kepingan kertas-kertas kecil. Di susunnya kemas-kemas di setiap sudut meja.
Gambar Hiasan |
Kami terus menuju ke salah satu daripada meja tersebut. Mencari-cari tulisan yang tertera 502. Kelas yang saya dan abang duduki semasa di tingkatan lima dulu. Ya, terlalu banyak kenangan yang dilalui semasa alam persekolahan. Tak mampu rasanya untuk diluah satu persatu.
"Assalamualaikum, cikgu..." Ibu memulakan bicara. Cikgu Suraya mendongak sedikit ke atas, memandang wajah-wajah kami. Kosong. Sememangnya tak ada satu perasaan yang mampu terlakar saat itu. Takut. Gementar. Cuak!
"Waalaikumussalam... Oh... Ezainy... Ezairy... Duduk puan, duduk duduk. Sekejap ya, saya cari slip mereka.." Ujar Cikgu Suraya sambil tersenyum.
"Macam mana cikgu, ok ke keputusan tahun ini?" Ibu nampak tidak sabar-sabar. Saya dan abang hanya perhati..
"Alhamdulillah, diorang berdua dapat straight A," selamba cikgu Suraya menjawab soalan ibu.
Ibu nampak terkejut. Saya dan abang mulai hilang kata-kata. Ungkapan dari mulut cikgu Suraya itu seakan menyekat seketika denyutan nadi. Aliran nafas terhenti. Degupan jantung senyap.
"Semua A... Atau semuanya A1, cikgu?" Ibu benar- benar mahukan jawapan segera. Cikgu Suraya masih lagi mencari-cari slip keputusan peperiksaan milik saya dan abang.
"Mereka berdua dapat 11 A1 puan. Tahniah!" Ujar cikgu Suraya sambil menyerah kertas slip peperiksaan tersebut. Saya seakan tidak percaya. Saya perhati semula kertas yang ada di tangan saat itu. Saya tatapnya betul-betul... Allahuakbar...
Untuk seketika saya dan abang larut dalam pelukan ibu ayah. Ya, dua insan yang selama ini banyak bersusah payah membesar dan menjadikan saya seorang manusia. Hingga berjaya sampai ke tahap itu.
Ibu masih lagi menangis teresak-esak. Menangis bukan meratapi kesedihan. Menangis mengecap nikmat kepuasan.
Dari atas pentas utama, saya masih lihat ibu masih lagi mengesat air mata yang tersisa. Saya tahu keputusan peperiksaan saya selama ini tidak pernah memberangsang dan tidak pernah menggembirakan mereka. Hari itu saya tunaikan segala impian mereka.
Buat adik-adik di luar sana, yang akan menduduki peperiksaan tahun ini... Ingatlah wajah ibu ayah anda. Kalau rasa lemah untuk berusaha, apabila ingat kesusahan mereka membesarkan kita, hati seorang anak pasti akan tersentuh. Mesti akan tergerak untuk melakukan sesuatu untuk mereka.
Bagi yang dah masuk alam berkeluarga, jenguklah ibu ayah di kampung. Mereka sentiasa menanti kepulangan kita.
Gambar Hiasan |
Kejayaan tidak diukur sejauh mana tingginya kedudukan kita. Atau sebanyak mana kita berjaya. Tapi dilihat sebanyak mana jatuhnya kita dalam perjalanan itu. Dan bagaimana kita bangkit dari setiap kegagalan. Akhirnya, kita akan jadi manusia paling kuat sekali. Percayalah. Jangan sekali-kali berputus asa.
Nota kaki:
Saya ada abang kembar Ezainy M Sallih. Kami sama-sama dibesarkan dari keluarga susah. Sama-sama cita semenjak sekolah mahu jadi doktor pakar perubatan. Nak ubah nasib keluarga. Ini adalah bukti kejayaan itu tak pernah sama sekali diukur oleh siapa ibu ayahnya, dari mana ia datang, di mana mereka tinggal, mana sekolahnya, siapa gurunya.... jangan salahkan mereka kalau kita kurang berjaya
Tetapi, bagaimana diri kita sendiri yang mahu sampai ke puncak.
Moga terinspirasi. Semoga bermanfaat.
0 Comments