Pemancing Maut Selepas Cuba Ambil Umpan Kesayangan Tersangkut Pada Kabel Elektrik


Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mahu mengambil umpan tiruan untuk memancing yang tersangkut pada kabel elektrik di Kampung Bukit Temalong, Gunong, Bachok, hari ini.

Mangsa yang dikenali Muhammad Sarwan Mohd Sabri, 22, ditemui dalam sawah padi di lokasi kejadian pada 4.30 petang semalam.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Kanan II Ibrahim Mohd Rohni, mangsa seorang diri ke sawah berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi untuk menjolok umpan tiruan yang tersangkut pada kabel elektrik petang kelmarin.

“Kami dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa, lelaki itu cuba menarik umpan tiruan yang disayanginya kerana selalu mendapat ikan.

“Selepas umpan itu tersangkut, dia pulang dan datang kembali membawa galah aluminium untuk mengambil umpan berkenaan.

“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjolok umpan yang tersangkut menyebabkan dia terjatuh dalam sawah yang mempunyai air sedalam 0.3 meter,” katanya yang dipetik dari laporan Harian Metro.


Jelas beliau lagi, abang kepada mangsa yang mencari adiknya di lokasi kejadian, menemui mayat Muhammad Sarwan dalam air sebelum membuat laporan polis.

Difahamkan, polis memaklumkan kepada bomba yang meminta bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memeriksa arus elektrik dalam air.

“Selepas TNB mengesahkan tiada arus elektrik dalam air, kami mengangkat jenazah mangsa dan diserahkan kepada pihak polis.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa berhubung kejadian itu.

"Kita masih menunggu laporan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," ujarnya.

Sumber- Harian Metro

Post a Comment

0 Comments

loading...