Pelajar Orang Asli Muncul Juara Catur Remaja Wanita Asia Tenggara


Pelajar Orang Asli melakar nama sebagai pemain catur remaja wanita pertama negara selepas berjaya memenangi dua pingat emas Kejohanan Peringkat Umur Catur Asia Tenggara kali ke-18 di Kuantan, semalam.

Lanida Dahlan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya, Pahang, muncul pemenang kategori ‘standard’ dan ‘rapid’ bawah 14 tahun berkumpulan dalam kejohanan sembilan hari itu.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia mula berjinak dengan dunia catur sejak berusia lapan tahun sebelum membabitkan diri secara aktif menyertai persatuan catur sekolah.

“Ketika di sekolah kebangsaan saya menyertai persatuan catur dan bermain secara konsisten.

“Ada guru yang mahir permainan ini mengajar kami bermain dengan teknik dan taktikyang betul.

“Apabila ke sekolah menengah, saya nampak potensi dalam diri lalu bermain secara serius dan menyertai beberapa kejohanan,” ujarnya.


Lanida yang bercita-cita meraih gelaran Grandmaster catur pertama negara berharap impian itu dapat direalisasikan nanti dengan meningkatkan mutu permainan bagi melayakkannya menerima pengiktirafan tertinggi Organisasi Catur Dunia (FIDE).

Kejohanan bermula 25 November lalu, menyaksikan dua lagi pemain catur negara Veronica Mahdan, 16, dan Erni Sharira Yusri, 15, merangkul pingat perak dan dua gangsa.

Sumber- Harian Metro

Post a Comment

0 Comments

loading...