KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Ebby Yus, 58, yang menghidap masalah jantung dan buah pinggang dapat merasakan perubahan pada tahap kesihatan selepas menjalani rawatan alternatif sejak Ramadan lalu.
Ebby Yus atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abd Rashid berkata, dia terkejut apabila mampu menaiki tangga ke rumah rakannya di tingkat tiga untuk berhari raya.
“Saya tak tahu perlu menaiki tangga untuk ke rumah rakan yang berada di tingkat tiga dan terkejut mampu melakukannya.
“Sebelum ini, saya memang tak mampu menaiki tangga kerana mengah, tetapi saya tidak sangka selepas 28 kali menjalani rawatan alternatif sejak awal Ramadan, saya sudah dapat merasakan perubahan pada tahap kesihatan,” katanya kepada BH Online.
Ebby berkata, dia kini menjalani rawatan Enhanced External Counter Pulsation (EECP) atau dikenali kaedah moden untuk rawatan jantung secara bebas surgeri di sebuah pusat di Petaling Jaya dan turut menjalani rawatan bekam serta akupuntur.
Katanya, dia bersyukur dapat tajaan menjalani rawatan EECP sebanyak 35 kali yang dianggarkan bernilai hampir RM20,000.
Bagaimanapun, pelawak berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak mengetepikan rawatan hospital.
“Saya masih makan ubat dan saya akan mengambil darah dan buat rawatan susulan di hospital, hujung bulan ini. Rawatan alternatif sebagai ikhtiar.
“Saya berharap keputusan darah bertambah baik, jadi tidak perlulah jalani rawatan dialisis sekiranya keputusan buah pinggang baik.
“Saya sudah menjalani 28 kali rawatan EECP dan hanya berbaki tujuh kali lagi. Setiap kali rawatan selama tiga jam. Ia dilakukan setiap hari kecuali Isnin,” katanya.
Pada Februari lalu, Ebby Yus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur selama beberapa hari kerana masalah jantung dan buah pinggang rosak.
Ebby memaklumkan badannya membengkak akibat dipenuhi air kerana buah pinggang tidak mampu memproses air keluar daripada badan sehingga menyebabkan sesak nafas.
Mengulas kerjaya seninya, Ebby berkata, dia tidak bekerja kerana tawaran diterima tidak sesuai dengan kudratnya sejak Ramadan.
“Saya tidak bekerja sejak bulan puasa sehingga sekarang. Tawaran juga semakin berkurangan, jika ada sekalipun ia tidak bersesuaian dengan kudrat saya.
“Saya hanya terima tawaran jika membabitkan penggambaran dalam studio kerana tidak mampu untuk bekerja di luar, apatah lagi, dalam keadaan cuaca panas,” katanya yang kali terakhir berlakon dalam program Sepahtu Reunion.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Sinar Viral Network
Sumber: https://ift.tt/b2E9yVR
via Sinar Viral Network
0 Comments