Sejak 6 November 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan berlakunya trend peningkatan kes baharu Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan (Rt).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu membimbangkan kerana peningkatan kes harian dan nilai Rt meningkat dari 0.96 ke 1.05 sejak 1 November 2021, menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat serta risiko pendedahan lebih tinggi untuk dijangkiti.
"Kes baharu menunjukkan peningkatan 11 peratus iaitu daripada 35,303 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 kepada 39,181 kes (ME ke-45), namun purata kes aktif menurun 5.0 peratus daripada 65,573 kes (ME ke-44) kepada 62,224 kes (ME ke-45).
"Kes kematian turut menurun 1.3 peratus iaitu 380 kes (ME ke-44) kepada 375 kes (ME ke-45) manakala purata kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menurun 2.0 peratus dan kes memerlukan bantuan pernafasan menurun 13.2 peratus," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, secara amnya, kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil wad biasa dan katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin.
Beliau berkata, bilangan pesakit dirawat di fasiliti kesihatan kian meningkat berbanding ME ke-44, walaupun kategori pesakit satu dan dua tidak menunjukkan perubahan ketara kerana bilangan pesakit kategori tiga hingga lima didapati semakin meningkat.
"Peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima membabitkan hampir semua negeri kecuali Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.
"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi situasi katil hospital kembali sesak," katanya.
Mengenai kluster Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kini 5,840 kluster dan hanya 278 kluster masih aktif iaitu penurunan sebanyak 17.0 peratus berbanding ME ke-44.
Beliau berkata, kewujudan kluster tempat kerja yang sebelum ini mencatatkan trend penurunan sejak ME ke-37 kini mulai meningkat semula pada ME ke-45 selari dengan pergerakan rentas negeri dan pembukaan semula sektor ekonomi.
"Dominasi kluster tempat kerja dijangka akan terus meningkat sekiranya pematuhan kepada langkah pencegahan tidak dipraktikkan majikan terhadap pekerja mereka.
"Menjadi tanggungjawab majikan memastikan amalan pencegahan digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) pembukaan ekonomi diamalkan sepenuhnya.
"Kluster pendidikan turut menunjukkan peningkatan ketara berbanding minggu sebelumnya berikutan penambahan negeri memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan secara bersemuka," katanya.
Sumber: Harian Metro
Sumber: Kluster pendidikan & tempat kerja menunjukkan trend peningkatan ketara - KKM
0 Comments