Rakyat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman keselamatan negara oleh penyokong-penyokong Parti Komunis China (PKC).
Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM) berkata demikian berikutan curiga dengan kemesraan parti berasaskan kaum, MCA dengan PKC di China.
Sebelum ini, Ismaweb.net melaporkan Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng mengucapkan tahniah kepada Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China, Song Tao sempena ulang tahun ke-100 penubuhan parti itu.
Menerusi ucapan itu, Teik Cheng bagi pihak Persatuan Cina Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Hal Ehwal China dan pusat inisiatif ‘Belt and Road’ PKC.
Mempersoalkan ucapan secara terbuka pemimpin itu, Timbalan Presiden QIAM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Nawi Alias ingin mengetahui bentuk kerjasama MCA dengan PKC yang membuatkan kedua-duanya kelihatan begitu rapat.
“Adakah mesej tersurat MCA ialah untuk memberitahu bahawa MCA ada ‘big brother’ yang mereka boleh harap memberi bantuan dan pertolongan?
“Kita jangan lupa, seawal 1953 lagi Datuk Onn Jaafar pernah melahirkan kebimbangannya yang MCA dan Dewan Perniagaan Cina sedang melaksanakan satu rancangan untuk menjadikan Malaya ketika itu sebagai negeri jajahan China, dalam Biografi Datuk Onn – muka surat 217-222 (UKM2004).
“Walaupun dinafikan oleh MCA ketika itu, adakah rancangan ini masih berjalan secara sulit?,” soalnya.
Beliau berkata, pihaknya amat memahami pentingnya hubungan baik dua hala kerajaan Malaysia-China tetapi ingin mengingatkan kerajaan dan juga rakyat, terutamanya Melayu, supaya sentiasa curiga serta waspada terhadap ancaman keselamatan negara oleh penyokong-penyokong PKC.
“Jangan sekali-kali alpa dan leka. Mereka ini licik dan senantiasa bergerak dengan penyusupan ideologinya ke dalam parti-parti politik dan persatuan-persatuan NGO. MCA dan DAP tidak terkecuali.
“QIAM menggesa pihak kerajaan supaya sentiasa pantau dengan rapi perkara ini dan ambil tindakan tegas jika ianya berlaku,” katanya. - ismaweb.net
Rakyat Perlu Sentiasa Curiga, Waspada Penyusupan Ideologi Komunis
0 Comments