'Mak Ngah tak nak angkat ke kain selimut yang dijemur kat luar tu?'

'Mak Ngah tak nak angkat ke kain selimut yang dijemur kat luar tu?'


Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca. 


Saya berasal dari Singapura dan berkahwin dengan warga Malaysia dan menetap di Melaka. Ada sesekali saya akan pulang ke Singapura dan menginap di rumah ibu saudara saya yang terletak di Jurong. Ibu saudara saya menjual kuih, jadi dia akan mula memasak kuih-muih pada malam hari dan ada yang akan disiapkan pada waktu subuh sebab menjelang jam 6 pagi, semuanya mesti disiapkan untuk dibawa ke tapak jualan. 


Kebetulan pada masa itu saya berada di rumahnya. Malam itu lebih kurang jam 1 pagi, saya membantu Mak Ngah di dapur. Sedang kami sibuk, saya pun menegur Mak Ngah. 


"Mak Ngah, kain selimut yang Mak Ngah jemur kat galah luar tu, tak nak angkat ke? Sebab dah malam ni, nanti kena embun pulak."


"Mana ada basuh baju hari ni? Hari ni Mak Ngah sibuk sikit, nak membasuh pakaian pun tak sempat. Agaknya itu kain orang kat tingkat atas yang terjatuh ke bawah," jawab Mak Ngah. 


Memandangkan dia tengah sibuk dengan kerja-kerjanya, saya pun cuba pergi jenguk di beranda dapur untuk melihat kain itu. 


"Saya tolong angkatlah kain ni Mak Ngah." 


"Ikut suka kaulah," balas Mak Ngah. 


Sedang saya menarik kain yang berkibar itu, Mak Ngah datang dan menjenguk kepalanya ke atas. Saya cuba menarik kain itu dengan kuat, tetapi dalam masa yang sama seperti ada sesuatu yang menyentap kain itu semula dan kain itu terus terbang melayang. 


Tiba-tiba terdengar suara Mak Ngah menjerit. Saya yang masih terperanjat hanya mampu melihat kain itu terbang tanpa dapat berkata apa-apa. Selepas itu, saya terdengar pula suara orang menjerit di blok bertentangan dengan apartment kami. Bukan itu sahaja, malah saya turut mendengar suara hilaian di langit. Mak Ngah kata, benda yang terbang tadi itu adalah pontianak.


Disebabkan hal itu, saya menjadi bingung selama beberapa hari. Masih terasa di tangan saya yang menarik kain putih itu yang kemudian disentap semula oleh benda menakutkan itu. Kain itu bukanlah betul-betul putih, ada sedikit kotoran seperti kesan tanah pada kain tersebut. 


Keesokkan harinya, kami ceritakan penampakan itu kepada ahli keluarga lain. Mereka kata, di kawasan Jurong ini memang keras. Ada seorang penghuni di situ yang mengamalkan ilmu hitam dan membela makhluk ini. Yang peliknya, pengamal ilmu hitam itu dikatakan telah berpindah ke tempat ,lain, tetapi makhluk belaannya pula ditinggalkan begitu sahaja. 


Kalau di Malaysia, sangat jarang nak terjumpa mahkluk ni (Pontianak) sebab masih terdapat banyak kawasan hutan dan biasanya mahkluk-mahkluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini tinggal di tempat-tempat sunyi. Seperkara lagi, mahkluk ini jenis terbang dan akan singgah di atas pokok yang tinggi. 


Tetapi di Singapura sudah tidak banyak pokok-pokok tinggi. Kawasan hutan pun kebanyakan sudah diteroka untuk dimajukan. Mungkin disebabkan itu mahkluk tersebut memilih untuk singgah di bangunan flat atau bangunan tinggi. Sasaran makhluk ini biasanya di tingkap rumah yang tinggi dan akan mengganggu orang yang pulangg lewat malam. 


Sumber: KisahSeram.com



Sumber: 'Mak Ngah tak nak angkat ke kain selimut yang dijemur kat luar tu?'

Post a Comment

0 Comments

loading...