Golongan miskin bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah adalah antara yang menderita teruk dalam pertarungan Covid-19 ini. Dengan masalah pendapatan dan simpanan, mereka hilang kemampuan untuk memenuhi keperluan asas. Tambahan lagi, nyawa mereka terancam disebabkan keadaan perumahan teruk yang meningkatkan risiko jangkitan Covid-19. Malangnya, sejumlah kes telah pun dilaporkan di beberapa PPR, menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Terdapat empat tindakan yang kerajaan harus lakukan untuk memberi kelegaan segera kepada golongan miskin di PPR dan untuk mencegah penularan Covid-19.
Pertama, skim di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) perlu dipercepatkan ke Julai, manakala skim lain seperti Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) perlu diperluaskan bagi membantu pekerja sektor informal dan orang lain yang memerlukan. Sebagai contoh, BKC hanya akan diedarkan secara berfasa pada Ogos, November dan Disember, bermakna tiada bantuan diberi pada Julai.
GARIS KEMISKINAN
Tambahan lagi, jumlah bantuan hanya sehingga RM1,300, jauh lebih rendah daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) purata negara sebanyak RM2,208 sebulan. Skim lain pula seperti subsidi gaji upah dan BKP hanya membantu mereka yang berdaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ini akan menyisihkan ramai penduduk miskin bandar dan PPR yang kebanyakannya pekerja informal dan bekerja sendiri.
Kedua, kerajaan harus memperkenalkan semula pengecualian sewa PPR selama enam bulan di seluruh negara. Ini dilakukan pada 2020 dan diperkenalkan semula di Sabah dan Selangor pada tahun ini tetapi untuk jangka masa lebih pendek. Dengan kehilangan sumber pendapatan dan simpanan berkurangan, setiap wang ringgit amat penting bagi golongan miskin bandar supaya mereka sekurang-kurangnya mampu membeli keperluan asas seperti makanan. Tempoh pengecualian sewa yang lebih lama pula akan membantu mereka untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran pandemik ini yang berpanjangan dan tidak berapa menentu.
Ketiga, kerajaan harus menawarkan perumahan sementara tambahan untuk penduduk PPR dan perumahan awam bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19. Ini penting terutamanya untuk isi rumah yang terdapat ahli keluarga disyaki Covid-19 atau aktif bekerja di luar rumah tetapi belum menjalani ujian swab. Perumahan sementara ini boleh menggunakan unit PPR kosong yang terdekat tanpa mengenakan caj sewa dan unit dari pasaran swasta dengan subsidi baucar sewa.
Keempat, ujian Covid-19 percuma perlu dipertingkatkan dan diperluaskan di PPR dan flat kos rendah di Lembah Klang dan kawasan bandar utama yang lain. Ini telah bermula di beberapa PPR di Kuala Lumpur yang boleh menjalankan sehingga 500 ujian setiap hari. Namun, memandangkan tahap penularan virus dalam komuniti agak tinggi, kerajaan harus bersedia untuk menjalankan lebih banyak ujian di PPR (jika perlu) bagi memastikan kadar positif Covid-19 menurun dan kekal di bawah tahap lima peratus mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
SESUAP NASI
Pada 2016 dan 2017, Institut Kajian Khazanah (KRI) menjalankan kajian di lima PPR dan mendapati ramai penduduk hidup dalam belenggu kemiskinan. Lebih 60 peratus berada di bawah PGK purata RM2,208 dan lebih 21 peratus dikira miskin tegar (pendapatan bawah RM1,038). Ini mungkin tidak mengejutkan memandangkan PPR ditetapkan sebagai perumahan bagi golongan miskin tetapi kadar kemiskinan yang tinggi ini bermaksud penduduk PPR mempunyai simpanan tidak mencukupi dalam menghadapi krisis semasa.
Lebih membimbangkan, kira-kira empat peratus ketua isi rumah yang bekerja tidak pernah bersekolah, sementara hanya 13 peratus yang belajar pasca menengah. Ini bermaksud pilihan pekerjaan mereka secara amnya terhad kepada pekerjaan gaji rendah. Selain itu, lima peratus bekerja sambilan dan 30 peratus bekerja sendiri, bermaksud ramai mudah dilepaskan kerja memandangkan sekatan ekonomi semasa. Tambahan pula, mereka tiada perlindungan sosial KWSP atau insurans pengangguran daripada Perkeso.
Juga disebabkan sifat kerja mereka, kebanyakan penduduk PPR tidak mampu bekerja dari rumah ketika PKP, memburukkan kekangan pendapatan. Jika terpaksa menghadiri tempat kerja secara fizikal, ini menimbulkan risiko jangkitan Covid-19. Dalam keadaan terdesak, tidak mengejutkan jika ada yang mengambil risiko demi sesuap nasi.
Risiko jangkitan juga tinggi antara ahli isi rumah disebabkan keadaan sempit PPR. Setiap unit PPR di Kuala Lumpur biasanya hanya 650 kaki persegi dengan bilik-bilik kecil yang tidak menepati Piawaian Perumahan Negara Malaysia. Kajian KRI pula menunjukkan sekurang-kurangnya 15 peratus unit PPR sesak, di mana terdapat tiga atau lebih orang dalam setiap bilik tidur. Statistik ini lebih teruk jika lelaki dan perempuan memerlukan bilik berasingan.
TANDAS
Masalah-masalah ini, serta ruang berkongsi seperti tandas yang terhad menyebabkan langkah pencegahan Covid-19 sukar dilakukan. Di samping itu, kesan buruk lain seperti kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan.
Sementara itu, kompleks PPR secara keseluruhan sangat padat, meningkatkan risiko jangkitan antara isi rumah. Sebuah PPR di Kuala Lumpur biasanya mempunyai sekurang-kurangnya 316 unit bagi setiap blok, di mana setiap blok setinggi 17 tingkat dan mempunyai tiga lif. Memandangkan isu lif (lambat dan sesak) adalah antara keluhan utama penduduk PPR sebelum pandemik, ini menimbulkan risiko kesihatan yang serius.
Kesusahan yang dihadapi orang yang kurang bernasib baik di Malaysia seperti di PPR memerlukan kita untuk merenung semula cara layanan yang diberikan kepada mereka. Oleh kerana seseorang ‘miskin’, tidak bermaksud mereka hanya layak menerima bantuan ala kadar sahaja. Tidak munasabah untuk mengharapkan mereka hanya bersyukur apabila penyelesaian yang diberi jauh daripada mencukupi, malah mungkin lagi memudaratkan. PPR lama dan baharu mesti dipertimbangkan semula secara menyeluruh di bawah dasar perumahan sosial komprehensif yang menjamin taraf kehidupan berpatutan untuk semua.
Bukan Hanya Bantuan Ala Kadar
0 Comments