Golongan Marhaen Pun Sama Sahaja......#RakyatGagal

“AKU sudah pernah merasakan semua kepahitan dalam hidup dan yang paling pahit ialah berharap kepada manusia.” – Saidina Ali Abi Talib

Tular di media sosial untuk kesekian lama slogan #KerajaanGagal tetapi kini penggunaan #RakyatGagal juga semakin meningkat bagi menggambarkan kecaman menyeluruh masyarakat kepada sesiapa yang tidak segan melanggar pematuhan undang-undang. Masyarakat saling menyalahkan sesama sendiri dan tidak lagi hanya menuding jari kepada kelas kayangan yang pada mulanya hanya digunakan untuk merujuk kepada mereka yang berduit, berkuasa atau berpengaruh.

Realiti semasa, bukan hanya kelas kayangan yang culas mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bahkan rakyat marhaen yang tidak berduit, tidak punya kuasa dan tanpa pengaruh juga sudah jemu menurut arahan kerajaan bagi membendung kemaraan pandemik Covid-19 dalam negara. Nilai taruhan bagi rakyat marhaen hanyalah nyawa yang dikandung badan tetapi nilai inilah yang tidak takut dipertaruhkan setiap orang dek kerana sudah terasa patah semangat meneruskan peperangan ini.

Maka kluster keagamaan mencanak naik kerana berbanding tahun lalu, semakin ramai yang enggan mengutamakan perjuangan menentang Covid-19 berbanding mengejar amalan di bulan Ramadan. Jika nyawa menjadi galang ganti buat ibadah yang dikerjakan, ramai yang sanggup mengambil risiko ini. Sangat berbeza dengan keadaan semasa dalam tempoh PKP fasa pertama, bila mana rakyat sama-sama berganding bahu dengan kerajaan dan agensi penguat kuasa mematuhi SOP yang ditetapkan. Sebarang keingkaran yang ternampak di khalayak ramai akan ditelanjangkan di media sosial sehinggakan negara berjaya mencapai rekod harian kes positif Covid-19 satu angka.

Sayangnya hal ini hanya terkubur dalam lipatan sejarah saat kerajaan mengambil langkah yang merugikan seantero negara demi memelihara kepentingan politik. Kini dengan jumlah aktif kes positif Covid-19 menjangkau 82,000 kes, keadaan semasa di Malaysia hampir mengatasi kerapuhan institusi kesihatan di India. Dengan varian

Covid-19 yang semakin mengganas, kenaikan angka korban malangnya langsung tidak menakutkan masyarakat daripada mengingkari SOP. Seolah-olah sentimen rakyat rata-rata sudah lelah untuk terus berjuang.

PAK MENTERI
Pemakaian undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dilihat berbolak-balik mengikut siapa yang menguatkuasakan akta ini dan ke atas siapa peruntukan akta ini terpakai. Jika pak menteri melanggar SOP yang digubal di bawah kuasa Akta 342, maka sudah tentu pelbagai alasan diberikan sehinggalah rakyat akhirnya terdiam dan terlupa keingkaran mereka. Kalau yang melanggar SOP itu artis jutawan atau jelitawan yang melanggar SOP pula, berminggu-minggu masa dihabiskan untuk siasatan dimuktamadkan. Namun, jika rakyat marhaen yang terlanggar SOP, tanpa perlu berdolak-dalik kompaun terus dikenakan.

Saya sudah kerap kali menegaskan, setiap undang-undang itu hanya berdiri dengan takzim apabila peruntukan perundangan terpakai secara sama rata ke atas setiap orang. Natijah apabila undang-undang dilihat tidak adil dan membeza-bezakan pemakaiannya adalah rakyat tidak lagi merasakan perlu untuk mematuhi undang-undang itu. Kesan ini adalah sesuatu yang terlalu mahal untuk dibayar walaupun dengan nyawa setiap rakyat.

Harus diingatkan, generasi demi generasi silih berganti dan yang tinggal mewarisi hanyalah institusi yang didirikan atas naungan kontrak sosial nan dipersetujui bagi rakyat dilindungi dan kerajaan melindungi. Apabila kehalusan prinsip ini dicemari secara terbuka oleh kerajaan, sudah tentu kesan jangka panjang adalah buruk sekali.

Malah, kegagalan untuk memulihkan kepercayaan masyarakat kepada institusi perundangan sudah pun melihatkan betapa banyak negara kecundang atas nama revolusi dan reformasi. Seharusnya setiap warga Malaysia mengambil iktibar dan hikmah daripada lipatan sejarah.

MAHAL

Tuntutan agar kerajaan lebih bertanggungjawab dalam memperkemaskan dasar negara adalah peringatan rakyat tentang amanah mereka yang diangkat sebagai wakil negara. Pada masa sama, rakyat jelata juga perlu kembali kepada amanah dalam persaudaraan sesama ahli masyarakat. Pematuhan SOP membanteras Covid-19 bukanlah untuk kita menjadi pak turut kepada kerajaan tetapi adalah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kita terpelihara bersama. Amatlah membebankan sesalan yang terpaksa kita tanggung kalau-kalau perbuatan kita yang mencemar amanah ini akhirnya mengorbankan nyawa ahli komuniti kita.

Memang benar harga perang Covid-19 adalah sungguh mahal. Kita sedang membiarkan anak-anak ketandusan sentuhan pendidikan dalam pada ekonomi semakin meruncing, kadar kemiskinan semakin meninggi dan masalah sosial terus menjepit.

Beringatlah, harga ini masih dikira kecil nilainya berbanding pertaruhan nyawa insan-insan yang kita sayang.

Oleh: Fatihah Jamhari

Golongan Marhaen Pun Sama Sahaja......#RakyatGagal

Post a Comment

0 Comments

loading...