Sudahlah Didirikan Secara Haram, Dapat Tempat Ganti Baharu Pula

Politik kemaruk undi punca masalah kuil, tokong haram tak selesai

BANGI – “Benarkah hanya ada 115 kuil dan tokong haram di ibu kota?”

“Kenapa hanya kira di Kuala Lumpur, kiralah seluruh negara. Biar rakyat tahu berapa ratusan ribu jumlah RIBI (rumah ibadat bukan Islam) sebenar yang halal dan haram.”

Demikian kata-kata sinis pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah selepas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan memaklumkan sebanyak 115 kuil dan tokong di ibu kota dikenal pasti didirikan di atas tanah kerajaan secara tidak sah.

Difahamkan daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes berjaya diselesaikan dengan kuil dan tokong yang terlibat diberikan surat tawaran pendudukan secara sah, manakala selebihnya ada yang ditawarkan tapak ganti yang dirizabkan sebagai tapak RIBI.

Berikutan itu, Prof Mohd Ridhuan Tee secara sinis menyifatkan kerajaan Malaysia ‘adil’ dalam menangani isu berkenaan.

“Sudahlah didirikan tidak sah atau secara haram, kemudian disahkan pengharamannya, yang lain ada dapat tempat ganti baharu pula. Adil sungguh kerajaan Malaysia. Mana nak jumpa keadilan sebegini di dunia lain.

“Persoalan saya, tidakkah pembinaan rumah ibadat perlu ada formula? Perlukah disahkan atau diganti jika tidak ada keperluan berbuat demikian?

“Cuba kira berapa banyak kuil dan tokong di kawasan Kuala Lumpur? Berbanding dengan jumlah penduduk dan keperluannya. Kawasan Batu Caves, Selangor, milik kerajaan, sudah menjadi RIBI terbesar di negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun rakyat Malaysia terima atas dasar toleransi, beliau kehairanan mengapa rumah ibadat itu terus dibina di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Boleh kira dan buat bancian seluruh negara. Ratusan ribu ada berbanding surau masjid yang hanya ada sekitar 30,000, memenuhi keperluan majoriti penduduk Islam.

“Itu pun kerana tuntutan sembahyang berjemaah. Jika tidak, lagi sedikit surau dan masjid.

“Kenapa rumah ibadat bukan Islam terlalu banyak didirikan, terutama di kawasan tanah bukan miliknya?” soalnya.

Lebih pelik baginya, di negara seperti India dan China, masjid dirobohkan dengan mudah sahaja malah digantikan dengan sembahan mereka.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan bertegas dan meletakkan keadilan di tempat yang sepatutnya.

“Pesan saya, jangan berpolitik dalam menentukan apa yang benar, apa yang salah. Apa dia hak, apa dia batil, mana dia adil, mana dia tidak, kerana neracanya sudah jelas.

“Jika kita terus berpolitik, kerana terlalu kemarukkan undi. Kita akan terus berdepan dengan masalah. Kita tidak akan ke mana-mana,” katanya. - ismaweb.net
Sudahlah Didirikan Secara Haram, Dapat Tempat Ganti Baharu Pula

Post a Comment

0 Comments

loading...