Baru-baru ini, muncul kembali isu istilah ‘Keling’ dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Istilah berkenaan yang digunakan di bawah definisi ‘tambi’ sudah diubah kepada ‘India’ dalam kamus versi dalam talian selenggaraan DBP susulan kritikan masyarakat.
Dalam konteks penggunaan di Malaysia, istilah itu membawa konotasi negatif dan bersifat menghina. Bagaimanapun, eloklah juga jika latar belakang komuniti yang dikenali sebagai orang Keling diketahui serba sedikit. Kita akan terkejut apabila menyedari sumbangan besar orang Keling kepada negara ini sejak zaman dahulu.
Kerajaan Keling (atau Kalinga) dinyatakan dalam epik Mahabharata dan Sejarah Melayu. Kedudukannya meliputi wilayah (negeri) yang kini dikenali Odisha, Chhattisgarh dan bahagian utara Andra Pradesh. Maka, sebenarnya tiada kaitan secara langsung dengan komuniti Tamil yang berasal dari Tamil Nadu di selatan India.
Kerajaan Kalinga, sebuah empayar besar dan hebat diketuai pemerintah menggunakan gelaran Kalingadhipati (Raja Kalinga).
Secara mudah, Kalinga atau Keling adalah suatu rujukan yang sepatutnya dibanggakan kerana latar sejarah yang amat mengagumkan. Namun begitu, tentu ada sebab mengapa gelaran ‘Keling’ kini membawa konotasi negatif dalam konteks penggunaan di Malaysia.
Untuk memahami secara lebih mendalam, kita wajar merujuk beberapa kisah dalam Sejarah Melayu. Misalnya, kisah Raja Kassim yang menggunakan gelaran Sultan Mudzaffar Shah selepas menjadi Sultan Melaka menggantikan abangnya, Seri Parameswara Dewa Shah (Raja Ibrahim). Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak menyedari hakikat Raja Kassim menjadi pelopor kepada jurai keturunan kerabat diraja keturunan India-Muslim (Keling) di Melaka, Perak dan Johor.
CUCU
Suatu hal yang menarik, penggunaan istilah ‘Keling’ sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka tidak merujuk secara umum kepada kaum India. Sebaliknya, merujuk secara khusus kepada orang India beragama Islam serta anak-anak yang lahir hasil perkahwinan orang India-Muslim dengan orang Melayu tempatan.
Kita sedia maklum, Tun Sri Lanang (Tun Muhammad Tun Ahmad) yang berketurunan Bendahara Melaka ialah pengarang Sejarah Melayu. Dalam karya itu dicatatkan Tun Sri Lanang merupakan cucu kepada Bendahara Seri Maharaja, cicit kepada Bendahara Tun Nara Wangsa dan piut kepada Bendahara Seri Maharaja. Beliau berketurunan India-Muslim dan berasal dari keturunan Mani Purindam, putera dari Kalinga.
Dalam Sejarah Melayu juga diceritakan kisah Mani Purindam datang sebagai saudagar kaya ke Melaka, lalu berkahwin dengan Tun Ratna Sendari. Maka, lahirlah Tun Ratnawati dan Tun Ali. Ratnawati dinikahi Sultan Muhammad Shah, lalu melahirkan Raja Kassim. Raja Kassim menjadi asas kepada kerabat diraja keturunan India-Muslim di Melaka, Perak dan Johor.
Sebelum Raja Kassim menjadi sultan, sudah timbul perebutan kuasa antara golongan Melayu dan India-Muslim. Pada 1444, susulan kemangkatan Sultan Muhamad Shah, penyokong Raja Ibrahim dan Raja Kassim mula berbalah.
Amat menarik kerana Raja Ibrahim yang berdarah Melayu dikhuatiri akan mengangkat kembali pengaruh Hindu di istana. Kerisauan ini menjadi nyata apabila sultan itu menggunakan gelaran Seri Parameswara Dewa Shah selepas naik takhta.
PORTUGIS
Raja Kassim berkahwin dengan Tun Kudu (Melayu). Jawatan Bendahara (perdana menteri) yang dipegang oleh Tun Ali (India-Muslim) diserahkan kepada kekanda Tun Kudu iaitu Tun Perak. Namun begitu, pengaruh golongan Keling masih penting dalam Kesultanan Melayu Melaka sehingga kejatuhannya kepada penjajah Portugis pada 1511.
Malah, selepas Tun Perak meninggal dunia, jawatan Bendahara dipegang bagi tempoh singkat oleh adiknya, Tun Puteh sebelum ‘kembali’ kepada golongan Keling iaitu Tun Mutahir. Perdagangan di Melaka serta laluan perdagangan di Selat Melaka mula didominasi golongan Keling (India-Muslim).
Apabila membaca Sejarah Melayu, kita akan bertemu beberapa watak Keling seperti Raja Mudaliar dan Si Kitol yang sering dikaitkan dengan konspirasi jahat sehingga membawa kepada kejatuhan Melaka. Malah, gelaran ‘kitol’ sering digunakan golongan politikus Melayu masa kini untuk merujuk kepada pengkhianat parti.
Maka, jelas ‘Keling’ bermula sebagai suatu gelaran yang dipandang tinggi dan dihormati. Istilah itu tidak merujuk kepada semua orang India tetapi khusus kepada golongan India-Muslim (mamak).
Konotasi negatif bagi gelaran ‘Keling’ nampaknya bermula sekitar 1444 susulan perebutan kuasa antara adik-beradik tiri Raja Ibrahim (Melayu) dan Raja Kassim (Keling).
Nama ‘Keling’ semakin tercemar dan dipandang negatif susulan tindakan Raja Mudaliar dan Si Kitol memfitnah Tun Mutahir.
Secara logik akal, apabila orang Melayu menggunakan gelaran ‘Keling,’ ia ditujukan bukan kepada orang India-Hindu tetapi India-Muslim. Namun, mengikut peredaran zaman, istilah itu mula digunakan secara umum apabila merujuk kepada kaum India.
Penduduk di Kedah, misalnya, sudah biasa menggunakan istilah ‘Keling’ apabila merujuk kepada kaum India tanpa sebarang konotasi negatif atau menghina.
Sayangnya, pengguna dan penutur generasi sekarang mungkin tidak mengetahui atau menyedari asal-usul gelaran ‘Keling’ sama ada berkaitan kerajaan Keling, perebutan kuasa Raja Ibrahim dan Raja Kassim atau kisah Raja Mudaliar dan Si Kitol.
Usah kita menafikan hakikat penggunaan gelaran ‘Keling’ dengan konotasi negatif dan menghina dalam kalangan masyarakat. Kita perlu memahami dan menghormati sensitiviti kaum India (sama ada India-Hindu atau India-Muslim). Bukankah lebih bagus dan terpuji jika perkara yang menyinggung perasaan orang dielakkan dan ditinggalkan tanpa cuba menegakkan benang yang basah?
Oleh: Uthaya Sankar SB
Kisah Di Sebalik Keling
0 Comments