Kreatif dan unik merupakan perkataan paling sesuai untuk menggambarkan perniagaan ‘Carboot Cafe’ yang diusahakan Mohd Fauzi Azmi di Bandar Tiram, Johor.
Hanya memberi fokus kepada bahan utamanya iaitu kopi, perniagaan yang diusahakan Fauzi ini kian viral dan mencuri tumpuan orang ramai termasuk anakanda-anakanda Sultan Johor.
Minat budaya ngopi
Memang minat budaya ngopi sejak bekerja di Indonesia. Budaya kopi jalanan di Indonesia memang meriah jadi tercetus nak wujudkan budaya yang sama di Malaysia. Setakat ini, saya beroperasi di Bandar Tiram dan waktu operasi pada hari Selasa sehingga Khamis pvkul3 petang sampai 6.30 petang. Manakala, hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saya akan meniaga pvkul9.00 pagi sehingga 12.30 tengahari sebelum bersambung semula pada 3.00 petang sehingga 6.30 petang.
Menerusi temuramah bersama OHBULAN, Fauzi memberitahu idea untuk memulakan perniagaan tersebut tercetus apabila dia minat akan budaya ngopi dan kopi jalanan di Indonesia. Menurutnya, dia pernah berkhidmat di Indonesia sebagai General Manager Plantation sejak tahun 2014 sehingga tahun lalu.
Oleh itu, dia tertarik dan jatuh cinta akan budaya yang dilihatnya sehingga berhasrat untuk mewujudkannya di Malaysia juga. Jelasnya lagi, dia berniaga setiap hari kecuali hari Isnin. Namun, perniagaan tersebut akan beroperasi seandainya hari Isnin merupakan hari cuti umum.
Konsep mesin kopi
Antara menu biasa yang saya jual di ‘Carboot Cafe’ ialah Espresso, Kopi O, Kopi Susu, Latte, Cappuccino, Mocha dan Coklat. Harga pula bermula daripada RM3.00 sampai RM9.00. Sebelum ni saya ada jual roti bakar juga tetapi ianya kurang mendapat sambutan. Orang ramai lebih sukakan kopi.
Fauzi turut memaklumkan bahawa seluruh ahli keluarganya dan penggemar kopi telah memberi sokongan yang padu buatnya sewaktu hendak memulakan perniagaan tersebut. Ujarnya lagi, penggemar kopi sangat tertarik dengan konsep mesin kopi yang berada di belakang boot keretanya. Setakat ini, Fauzi memberitahu perniagaan kopi ini berpeluang untuk berkembang sekiranya sentiasa mendapat sambutan.
Disoal pula mengenai adakah perniagaannya turut terjejas semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fauzi turut mengalami nasib yang sama dengan peniaga yang lain. Namun, dia berjaya mengatasi masalah tersebut dengan menjual biji kopi dan serbuk kopi secara online. Jelasnya lagi, kesemua kopi yang dijual telah dibakar olehnya sendiri. Hasil pendapatan yang diraih mampu menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Perlu faham mengenai kopi
Meniaga kopi ni lebih kepada hobi dan minat. Lepas tu barulah fikir mengenai sumber pendapatan. Ini kerana, peminat tegar kopi agak cerewet kepada perubahan citarasa kopi, jadi kita perlu faham kopi dahulu.
Fauzi turut memberi nasihat buat para peniaga khususnya mereka yang berniaga kopi agar mempunyai minat terlebih dahulu mengenai perniagaan yang bakal diusahakan sebelum berfikir mengenai soal pendapatan. Bapa kepada empat orang anak ini juga sedang merancang untuk membuka cawangan keduanya di Sungai Besar, Selangor.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Sinar Viral Press
Sumber: OhBulan
via Sinar Viral Network
0 Comments