Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo. Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter. Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun. Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.
Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo. Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April. Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.
Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain. “Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini. Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.
Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah dongeng atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.
Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.” Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.
Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996. INFO: Laut terbelah Jindo *Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai. *Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak. *Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari. *Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya. *Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun Koleksi video tontonan 13 tahun keatas sahaja
0 Comments