Beberapa minggu kebelakangan ini, harga minyak terus menaik termasuk juga harga diesel. Semua pihak akan menaikkan sedikit bayaran kerana tidak mahu alami kerugian begitu juga dengan pengusaha lori.
Presiden Persatuan Pengusaha Lori Malaysia, Anthony Tan Boon Siong berkata pada masa ini, pengusaha lori masih mengambil sikap tunggu dan lihat, sekiranya harga diesel terus melonjak naik, mereka terpaksa mengenakan bayaran lebih tinggi ke atas pengguna.
"Ahli-ahli saya (pengusaha lori) tidak pernah mengadu kepada saya, tetapi saya percaya mereka dalam keadaan tertekan.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masalah kemelesetan ekonomi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memberi impak teruk kepada pengusaha lori," katanya.
Menurutnya, harga diesel menunjukkan kenaikan dan kadarnya mencecah sehingga sembilan sen seliter iaitu pada harga RM2.14 sen seliter.
"Persatuan kami akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk berbincang mengenai masalah kenaikan harga diesel dan mengemas kini kos operasi kami.
"Kami juga berharap, kerajaan mengumumkan mekanisme pengiraan harga petrol dan diesel yang dijalankan secara mingguan ini agar rakyat dapat mengetahui dengan jelas," katanya. - Siakapkeli.my
0 Comments