Perdana: Mana Istiadatnya?

TERJEMAHAN kata bahasa Inggeris premier kepada perdana yang dijangka digunakan untuk jawatan ketua kerajaan Sarawak pasti mengelirukan. Oleh itu, ia memerlukan pertimbangan semula agar penggunaannya tidak menjadi kontroversi besar.

Dalam hal ini, kata premier wujud dalam dua kategori. Pertama, sebagai kata sifat yang bererti paling penting, berjaya, tinggi kedudukan dan seumpamanya yang menekankan darjah tertinggi sesuatu sifat itu. Kedua, selaku kata nama yang ertinya ialah perdana menteri.

Dalam bahasa Melayu, terjemahan kata premier sebagai kata sifat ialah perdana, iaitu yang terutama pada sesuatu entiti. Dengan ini, liga perdana sebagai terjemahan premier league bermaksud pertandingan paling penting.

Untuk kata nama pula, terjemahannya ialah perdana menteri, yakni menteri terpenting, tertinggi kedudukannya dalam barisan menteri yang ada. Sepatutnya ia berbentuk menteri perdana mengikut nahu bahasa Melayu, khususnya Hukum DM.

Hukum DM mengkehendaki unsur yang diterangkan hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan wujud pada kedudukan kedua. Justeru, perdana menteri adalah urutan salah.

Hukum DM penting dalam bahasa Melayu dan rata-ratanya dipatuhi. Ini antaranya dapat dilihat juga dalam bahasa Indonesia pada ungkapan hakim ketua dan hakim anggota yang bermaksud pengawai perbicaraan yang memimpin yang lain-lain sebagai ahli sahaja.

Meskipun begitu Hukum DM sering juga tidak dipatuhi. Ini kerana terjemahan dalam bahasa Melayu itu mahu mengikuti urutan bentuk asalnya dalam bahasa lain. Hal ini juga dapat dilihat pada ungkapan pop kuiz sebagai terjemahannya daripada pop quiz. Ia yang memang kesalahan tetapi sebab sudah menjadi kebiasaan sehingga begitu mantap penggunaannya, dianggap sahaja sebagai kekecualian. Sepatutnya ia berupa kuiz pop, iaitu ujian tentang hal popular dalam bidang hiburan seperti juga pada kuiz matematik yang menguji kemahiran mengira.

Kata perdana sebagai rujukan kepada manusia wujud dalam bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu lama. Maksud utamanya ialah bendahara, iaitu orang yang diamanahkan memegang harta benda kerajaan. Ia juga digunakan untuk bermaksud perdana menteri dan wazir.

Dengan ini, ketua kerajaan Sarawak tidak salah dikenali sebagai perdana sebagai terjemahan kepada premier itu. Perubahan kepada panggilan baharu ini diwajarkan sebagai amat perlu setelah berlakunya pindaan pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk membezakan tarafnya dengan ketua kerajaan di negeri tertentu di Semenanjung. Sebagai wilayahyang kini sama kedudukannya dengan Semenanjung, taraf ketua kerajaan Sarawak didapati tidak boleh lagi disamakan dengan kedudukan ketua kerajaan sebuah negeri atau subwilayah sahaja di Semenanjung.

GABENOR

Oleh itu, ada cadangan kata perdana sebagai terjemahan kepada premier.

Sehubungan ini, ada keperluan mendesak untuk tidak menggunakannya yang pasti akan menimbulkan kekeliruan. Dengan ini, panggilan lain hendaklah digunakan.

Antaranya menteri terutama yang bukan sahaja tepat dari segi Hukum DM, ia juga membawa maksud yang dikehendaki, iaitu menteri yang paling utama, terpenting dan lain-lain seumpama itu daripada satu barisan menteri.

Dalam pada ini, ia juga didapati selari pada kata terutama dengan panggilan bagi ketua pemerintahan di tempat yang tidak beraja di Malaysia, iaitu Tuan Yang Terutama.

Rentetan pindaan pada MA63 itu, panggilan ini akan juga diubah untuk membezakan tarafnya dengan negeri tertentu yang sebenarnya subwilayah sahaja di Semenanjung, sedangkan Sarawak sebuah wilayah seperti Semenanjung. Ia boleh antaranya mengambil bentuk Tuan Yang Maha Utama Gabenor Sarawak.

Natijahnya di sini ialah persoalan protokol, iaitu peraturan yang sedia wujud antara kerajaan dan tingkah laku formal dalam urus tadbir negara. Sebagai negara beraja berperlembagaan yang mengamal demokrasi berparlimen, sudah tentu protokol ini bukan sahaja penting sekali diamalkan, ia juga amat penting dilihat sebagai diamalkan.

Dengan ini, dalam konteks kita yang beraja, keutamaan pemakaian kurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat yang sama tingkatnya ditetapkan sebagai didahului kurniaan Persekutuan, diikuti kurniaan Wilayah Persekutuan dan diakhiri kurniaan negeri.

Begitu jugalah protokol demokrasi berparlimen kita yang berasaskan federalisme, yakni urus tadbir dan pemerintahan yang wujud pada dua peringkat, iaitu Persekutuan dan wilayah atau negeri. Oleh itu, ada keperluan wajib untuk membezakan kedua-dua peringkat ini sama ada melalui panggilan ketua kerajaan atau urus tadbir dan pemerintahan antara Persekutuan dengan wilayah atau negeri.

Sebenarnya kita tidak perlu meniru dari negara lain. Ini kerana kita mempunyai adab sendiri dengan tamadun yang tidak kurang majunya. Oleh itu, sangat menjadi susila kita untuk membezakan kedaulatan Persekutuan dengan wilayah dengan jitu lagi nyata.

Lantaran ini ia mestilah dizahirkan melalui panggilan yang bukan sahaja bertertib dari setiap segi hierarki Persekutuan-wilayah, ia juga harus perlihat adab dari segenap sisi budaya, khususnya istiadat. Dengan ini, ada kemestian yang sangat-sangat untuk panggilan itu tidak sesekali menggunakan kata perdana yang bukan sahaja akan mengelirukan tetapi lebih tambung lagi ia bersifat mencabar.

Sehubungan ini, panggilan dalam bahasa Melayu itu wajib benar-benar bersifat saling melengkapi antara darjat ketua Persekutuan dengan taraf ketua wilayah.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Perdana: Mana Istiadatnya?

Post a Comment

0 Comments

loading...