Kanak-kanak usia 5-11 tahun bakal terima suntikan vaksin

Kanak-kanak usia 5-11 tahun bakal terima suntikan vaksin


Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan kanak-kanak berusia 5-11 tahun bakal menerima suntikan vaksin. Ujar beliau, Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bagi golongan tersebut. Terdahulu, 82.4 peratus daripada remaja (12-17 tahun) telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 62 peratus telah lengkap dua dos.


Pengumuman tersebut telah menarik perhatian netizen dan juga dalam kalangan selebriti. Ada sesetengah mereka tidak bersetuju dengan pengumuman tersebut dan tidak bersedia untuk menyerahkan anak mereka untuk disuntik. 


Tinjauan di media sosial mendapati, kebanyakan ibu bapa menolak kerana bimbang dengan kesan sampingan yang bakal diterima oleh anak-anak mereka. Ini kerana pengalaman mereka sendiri mengalami kesan sampingan setelah divaksin.


Tular di media sosial juga pendapat dan luahan seorang selebriti yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Datin Almy Nadia. Beliau menegaskan tidak akan membenarkan anak-anaknya untuk divaksin kerana turut bimbang dengan kesan yang bakal ditanggung. 


Beliau juga menyatakan sudah mengambil vaksin tambahan Influenza dan bermacam-macam lagi untuk menguatkan antibodi anak-anaknya. Ujar beliau lagi kenyataan yang dibuat tersebut bukan bermakna beliau merupakan seorang antivaksin memandangkan beliau dan suaminya telah lengkap dua dos.


Namun begitu, ibu bapa tidak perlu gusar dengan keputusan untuk membenarkan suntikan vaksinasi untuk anak-anak kerana vaksin yang digunakan adalah terbukti selamat. Hal ini turut dinyatakan oleh Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM Profesor Madya Dr Malina Osman. 


Melalui temubual di Astro Awani, beliau berkata, beberapa negara lain juga telah pun melakukannya lebih awal daripada pengumuman yang dibuat oleh Amerika Syarikat sebelum ini.


“Untuk pengetahuan semua, terdapat beberapa negara lain telah memulakan vaksin terhadap golongan tersebut. Antaranya Kemboja, Cuba, Chile, UAE dan juga China.


“Jadi keputusan tersebut pada pandangan saya bukanlah terlalu awal kerana kalau kita perhatikan negara UAE telah menggunakan vaksinasi terhadap golongan tersebut seawal Julai atapun Ogos lalu,” jelasnya.


Bagaimanapun katanya, data-data yang lebih banyak mungkin sedang dikumpulkan untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat oleh kerajaan.


“Namun daripada tinjauan secara saintifik dan sebagainya, vaksin yang sedia ada yang disyorkan kepada golongan tersebut adalah selamat dan berkesan," katanya.


Jelas Dr Malina, kelompok kumpulan kanak-kanak membabitkan usia 5 hingga 11 tahun di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang terlibat dalam alam persekolahan. Justeru katanya, golongan tersebut sudah tentunya terlibat dengan pergaulan sosial dengan kanak-kanak lain yang mungkin mengundang risiko mendapat jangkitan COVID-19.


“Dalam keluarga masing-masing, mereka ini berpotensi untuk menjadi punca jangkitan kerana mereka ini masih lagi belum lagi divaksin. Walaupun kalangan dewasa sudahpun divaksin tetapi disebabkan oleh potensi mereka ini untuk menyebabkan jangkitan, ia juga boleh merebak kepada golongan yang lain," terangnya.


Secara kesimpulannya, setiap ibu bapa harus memikirkan kesan baik yang bakal diterima oleh anak-anak. Jika masih ragu-ragu atau gusar dengan tindakan tersebut, sampai bilakah anak-anak harus terdedah dengan risiko kesihatan yang bakal mereka terima. Bukan itu sahaja, pendidikan anak-anak juga terjejas jika vaksinasi ke atas mereka tidak dapat dijalankan. 


Sumber: Astro Awani, Instagram Almy Nadia



Sumber: Kanak-kanak usia 5-11 tahun bakal terima suntikan vaksin

Post a Comment

0 Comments

loading...