'Ada yang guna kain untuk menggantikan pad' - Ramai pertikai bantuan Kit Asas Kebersihan untuk wanita, lelaki ini tampil beri penjelasan

'Ada yang guna kain untuk menggantikan pad' - Ramai pertikai bantuan Kit Asas Kebersihan untuk wanita, lelaki ini tampil beri penjelasan


Baru-baru ini Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr. Nurul Ashikin mencadangkan agar golongan wanita B40 diberikan perhatian melalui bantuan tuala wanita. Pelbagai komen positif dan juga negatif yang dilemparkan. Walaubagaimanapun, golongan wanita B40 sudah boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan 130,000 remaja wanita dari keluarga B40 bakal menerima bantuan kit asas kebersihan diri percuma setiap bulan ketika membentangkan bajet 2022 di Dewan Rakyat beberapa hari lalu.


Isu bantuan sebegini ada yang memandangnya sebagai satu perkara yang remeh, sedangkan ‘Kemiskinan Haid’ ini merupakan masalah di serata dunia. Menerusi Twitter, seorang pemuda berkongsi pandangannya dan bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh Ketua Pejuanita Muda Malaysia itu. Dia menyuarakan pandangannya dengan mengambil kira pengalamannya sebagai individu yang dipertanggungjawabkan untuk membeli barang keluarga, kelas-kelas yang dihadiri dan juga pertanyaannya kepada orang lain.


“Hal tuala wanitai ni lebih kurang seperti lampin bayi, tetapi dua tiga kali ganda lebih rumit. Bukan semua jenis lampin bayi boleh pakai. Silap pakai nanti boleh menyebabkan alahan, ruam dan sebagainya. 


"Sama seperti tuala wanita, sebab itu ada yang suka memakai jenama Libresse dan ada yang suka Kotex. Mereka tidak memakai satu pad sehari. Mereka menggunakan banyak pad dalam sehari bergantung pada haid masing-masing. Sebanyak mana anda masuk ke tandas dalam sehari, sebanyak itu jugalah mereka menukar pad.


"Tukar setiap empat jam itu pun benda biasa. Kalau haid teruk, nak tak nak kena beli pil ubat tahan sakit. Sebab itu ada panadol untuk orang haid. Disebabkan benda-benda di atas, maka mereka akan memakai banyak pad. Tidak hairan kalau anda melihat ahli keluarga sendiri termasuk isteri membeli banyak pek besar terus (20 pad/1 pek etc), bergantung kepada haid juga.


"Dan disebabkan itu juga, maka wujudlah kemiskinan haid sebab duit cuma cukup untuk kelengkapan asas sahaja bagi keluarga miskin teruk. Ada yang menggunakan kain untuk menggantikan pad. Solusi lain bagi ini ialah, ya, mengandung," tulis Ammar melalui bebenang di Twitter.


Pandangan lelaki berkenaan disambut baik oleh golongan wanita dan menyatakan tidak semua lelaki memahami keperluan seorang wanita lebih-lebih lagi apabila ada dalam kalangan wanita yang tidak berkemampuan. Namun lain pula di Instagram, netizen menyelar status yang dimuat naik oleh anak perempuan Presiden UMNO, iaitu Nurulhidayah Ahmad Zahid. Mereka mendakwa Nurulhidayah tidak memahami kesusahan yang dialami oleh golongan ini.


Nurulhidayah sebelum ini menidakkan kemiskinan haid di Malaysia berbanding isu yang berlaku di negara India dan menyatakan kos yang diperlukan untuk membeli keperluan tersebut tidaklah membebankan. Beliau mengulas isu ini berdasarkan satu kenyataan yang mengatakan wujudnya wanita yang sanggup untuk mengandung berulang kali daripada berdepan dengan kedatangan bulan.


"Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun. Saya mengkaji pad. Saya keluarkan jenama pad, jadi saya tahu. Jangan salah faham. Saya ketawa kerana tajuk berita itu. Apa kena-mengena pad dengan mengandung. Alahai," katanya menjawab komen tersebut.


Nurulhidayah turut berkata yang dia tidak menentang pengedaran tuala wanita secara percuma, tetapi menegaskan yang ia bukanlah penyelesaian jangka panjang.


Sementara itu, melalui laporan yang disediakan oleh Utusan Online, NGO Sanitary Bank Malaysia menyatakan ramai remaja perempuan dalam keluarga miskin dan berpendapatan rendah sanggup mengandung supaya dapat mengelak untuk membeli tuala wanita selama sembilan bulan. Senario ini dikatakan perkara biasa yang dilakukan oleh wanita ini tetapi tidak memikirkan tentang keperluan akan datang yang lebih besar selepas melahirkan bayi nanti. Selain itu juga, kemiskinan haid juga menyebabkan remaja perempuan khususnya pelajar sekolah kerap ponteng sekolah.


Sumber: Twitter Ammardathinker, Astro Awani, Sinar Harian, Utusan Malaysia




Sumber: 'Ada yang guna kain untuk menggantikan pad' - Ramai pertikai bantuan Kit Asas Kebersihan untuk wanita, lelaki ini tampil beri penjelasan

Post a Comment

0 Comments

loading...