Selat Singapura ‘Lubuk’ Lanun

SINGAPURA: Insiden-insiden rompakan bersenjata atas kapal di Selat Singapura meningkat pada separuh pertama tahun ini, dengan kebanyakan kes membabitkan kapal-kapal lebih besar seperti kapal-kapal induk.

Berita Mediacorp melaporkan, dari Januari hingga Jun tahun ini, 20 insiden rompakan bersenjata berlaku di Selat Singapura, naik 16 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut sebuah pusat perkongsian maklumat maritim hari ini.

Ini berbanding penurunan 35 peratus dalam insiden di rantau ini sepanjang tempoh yang sama, menurut Pusat Perkongsian Maklumat, Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP).

Dalam enam bulan pertama tahun ini, terdapat 37 insiden rompakan bersenjata di Asia, merosot berbanding 57 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu, dengan kes-kes yang dilaporkan di lokasi-lokasi seperti India, Indonesia, Filipina dan Laut China Selatan berkurangan.

Masafumi Kuroki, pengarah eksekutif pusat tersebut berkata, ‘insiden-insiden berterusan’ atas kapal di Selat Singapura kekal menjadi perhatian, sambil menambah insiden itu kemungkinan akan terus berlaku jika pelaku-pelakunya tidak diberkas.

Dalam insiden di Selat Singapura, 16 kes berlaku di laluan menghala ke arah timur Skim Pemisah Trafik (TSS) di perairan di Tanjung Pergam, Pulau Bintan, Indonesia.

Insiden-insiden itu berlaku pada sebelah malam di atas kapal-kapal induk, minyak dan kargo, menurut ReCAAP, sambil menambah kebanyakan insiden melibatkan kumpulan empat orang.

Tujuh insiden pula melibatkan pelaku-pelaku yang menggunakan pisau.

Bercakap dalam satu taklimat maya, Kuroki berkata: “Ia bukan lagi rompakan kecil, ia adalah jenayah lebih serius apabila para pelaku bersenjatakan pisau atau senjata lain atau sekiranya kru kapal diancam atau cedera. Oleh itu, ia satu kebimbangan kepada masyarakat maritim memandangkan insiden-insiden sedemikian berlaku di Selat Singapura”.

Malah, beliau menambah sebahagian insiden berlaku hampir serentak di lokasi-lokasi berbeza. Ini menunjukkan terdapat beberapa kumpulan pelaku lain. - UTUSAN
Selat Singapura ‘Lubuk’ Lanun

Post a Comment

0 Comments

loading...