Malaysia Negara Gagal?

Sudah sekurang-kurangnya dua kali Malaysia didakwa negara gagal. Kali pertama sebelum Pilihan Raya Umum 2018 yang dituduh pihak lawan terhadap kerajaan semasa itu. Terbaharu, ia ditukas pula pihak luar. Apabila didakwa sedemikian, ia ditujukan kepada ketidakupayaan pemerintah yang dianggap menghampakan dalam mengurus negara. Pun begitu, pengukuran ketepatannya subjektif sekali apabila wilayah negara yang didakwa itu utuh lagi, perkhidmatan awam di dalamnya masih beroperasi dan kerajaan yang memerintah terus berfungsi.

Dalam pada itu, pengisytiharan sesebuah negara sebagai gagal bukan sahaja penuh dengan kontroversi, lebih dahsyat lagi ia mempunyai kesan geopolitik yang negatif.

Oleh itu, ia tidak harus sesekali datang daripada mana-mana pihak di dalam negara ini, biarpun niatnya demi negara tercinta, apatah lagi hasratnya untuk kepentingan peribadi. Ini kerana hubungan politik antarabangsa terhadap negara kita akan terjejas teruk dari pelbagai segi. Antara terpenting ialah pelaburan asing.

Sebenarnya tuduhan daripada pihak luar adalah akibat bikinan kita sendiri yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, ia keji pula. Oleh sebab kita, khususnya sekelompok ahli politik yang bangsat sehingga sanggup menjilat ludah sendiri, kononnya atas nama kebaikan negara tetapi disarati kerakusan kendiri, tidak keberatan mengganggu gugat urus tadbir negara sampai wujudnya ketidakstabilan politik.

Selain berperangai buruk, mereka ini adalah bajingan yang tidak tahu berasa salah untuk mengemukakan penjelasan yang bukan sahaja menyeleweng, tetapi memperlihat sikap mementingkan diri yang amat keterlaluan dan eksklusif sifatnya, walaupun pada masa rakyat dan negara dilanda musibah parah, yang tidak dapat dinafikan diburukkan lagi oleh mereka ini.

ETIKA
Sesungguhnya rakyat mengenali setiap seorang daripada mereka ini yang dengan jelasnya didapati bukan sahaja tidak ada etika langsung, malah tiada moral dalam apa-apa jua bentuk. Rakyat sebaliknya pada saat segenting kini amat memerlukan mereka dalam kalangan ahli politik, yang bersedia secara ikhlas melakukan apa-apa sahaja untuk negara tanpa mengharapkan sebarang ganjaran kendiri. Sikap begini bukan sahaja sangat dipuji dari segi etika, ia pasti akan membawa dampak baik kepada rakyat.

Ia nilai teras yang wajib dipupuk pada semua yang berjanji mahu berkhidmat untuk masyarakat dan negara.

KELAWAR
Sikap ini sebenarnya wujud dalam kalangan haiwan dalam bentuk pelbagai kelakuan penuh tanggungjawab. Antaranya yang diperlihat kelawar jenis tertentu yang selalu menyuapkan darah yang dihisapnya daripada haiwan lain ke dalam mulut kelawar yang tidak sempat menghisapnya sendiri agar tidak kebuluran. Sebagai manusia berakal, sudah tentu kita boleh melakukan perkara yang jauh lebih baik berbanding dengan yang mampu dilakukan haiwan.

Oleh itu, marilah kita perbaiki dan perbetul keadaan berseteru dengan merapatkan saf pada waktu genting ini untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sebenarnya seruan berdamai untuk bersama-sama memerangi pandemik Covid-19 yang banyak mengesani ekonomi negara, bukan sahaja datang daripada ketua negara, ia juga harapan luhur rakyat kepada setiap ahli politik. Namun, ia langsung tidak diendahkan haiwan politik yang terus-terusan mempolitikkan usaha memerangi pandemik Covid-19 yang didakwa gagal itu.

Data kesihatan sejagat terkini dalam hal ini memperlihat jangkitan mendadak di 69 negara termasuklah kawasan tertentu di Amerika Syarikat dan United Kingdom akibat penularan varian virus baharu. Di rantau ini, Thailand, Indonesia, Vietnam dan tidak terkecuali Korea Selatan, ikut mengenakan perintah kawalan pergerakan penuh semula yang tidak pun dianggap kegagalan kerana berkali-kali melaksanakan semula tindakan terdahulu. Ini kerana itulah cara utama untuk pertama-tamanya menyelamatkan nyawa yang diikuti pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan ke atas sektor ekonomi.

LICIK
Malangnya di negara kita, ia dipolitikkan habis-habisan kerana kejayaan memerangi pandemik Covid-19 adalah tidak baik untuk pihak lawan. Oleh itu, bukan sahaja tiada kerjasama ikhlas, ia mahu sengaja digagalkan melalui pelbagai cara. Antaranya mengelirukan rakyat dengan menimbulkan tanggapan yang negatif apabila menyalahkan satu pihak sahaja sedangkan ia tanggungjawab kolektif, selain cara licik yang rata-ratanya memperlihat kerakusan semata-mata.

Dengan berlakunya semua ini, tidak dapat dinafikan negara tercinta ini sedang menuju kebobrokan, khususnya tentang moraliti dalam politik yang didapati mulai hancur.

Dengan ini sesungguhnya Malaysia telah kehilangan kualiti moral yang pada satu masa tidak lama dahulu disanjungi banyak pihak termasuklah dari luar. Oleh itu, tidak salah kalau kita dilihat sebagai sedang mengalami kemerosotan mendadak yang boleh mengarah kepada keadaan hancur leburnya beberapa kualiti unggul yang pernah ada pada kita.

Sebelum nasi menjadi bubur, hentikanlah muslihat yang dikaburkan sebagai kepentingan negara. Malang sekali jika muslihat ini berhasil kerana ia ibarat menang bersorak kampung tergadai. Dengan ini, kemenangan itu hanyalah untuk kelompok tertentu sedangkan rakyat dan negara akan terus berada di takuk lama, malah terkesot jauh ke belakang sehingga Malaysia boleh dilabelkan sebagai negara rosak, yakni tidak elok lagi.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Malaysia Negara Gagal?

Post a Comment

0 Comments

loading...