Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2021-2025 yang dilancarkan baru-baru ini sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-65 memberi tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Ironinya, selepas 64 tahun merdeka dan 65 tahun penubuhan DBP, kita masih bergelut untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di negara yang telah mengisytiharkannya sebagai bahasa kebangsaan. Jelas sekali sikap masyarakat kita sendiri menyebabkan segala usaha DBP untuk mengangkat kedudukan bahasa Melayu ini seringkali menemui jalan buntu atau berhadapan halangan serta cabaran besar.
Ketika menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh bahasa, iaitu “Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.” Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 pula memperuntukkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.
Jadi, sepatutnya bahasa Melayu telah mencapai satu tahap di mana sudah masyhur sebagai bahasa ekonomi, bahasa ilmu mahupun sebagai bahasa perpaduan tanpa sebarang masalah atau pertikaian. Tetapi adakah ia benar-benar berlaku? Hakikatnya, pada hari ini masih ramai dalam kalangan warganegara yang tidak mampu memahami mahupun fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
Jelas sekali sikap masyarakat yang tidak mempedulikan kepentingan bahasa Melayu, tidak serius memartabatkan kedudukan bahasa Melayu serta terlalu suka mengagung-agungkan bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu sering dianaktirikan di negara sendiri.
Jadi, masyarakat perlu mengubah sikap supaya kita dapat memperbetulkan keadaan ini. Harus diingat, tugas dan tanggungjawab untuk memelihara dan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu tidak boleh disandarkan di bahu DBP atau kerajaan semata-mata, sebaliknya setiap warganegara perlu memainkan peranan dan memikul tanggungjawab secara bersama.
Secara prinsipnya, setiap anggota masyarakat sama ada orang Melayu, Cina, India mahupun etnik lain perlu menerima kenyataan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang wajib menjadi bahasa komunikasi utama kita. Kita boleh menggunakan bahasa ibunda masing-masing tetapi keutamaan perlu diberikan kepada bahasa Melayu.
BAHASA ROJAK
Dalam hal ini, warganegara yang bahasa Melayu bukan bahasa ibunda terutamanya yang menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan perlu menzahirkan komitmen yang lebih tinggi dan serius. Ini kerana senario semasa menunjukkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah Tamil dan Cina dilihat masih belum mencukupi untuk membantu anak-anak ini berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Akibatnya bahasa rojak terus menjadi amalan harian mereka apatah lagi di rumah mengamalkan bahasa ibunda sendiri. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana boleh menyebabkan seluruh generasi mereka juga akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.
Pada masa sama, anggota masyarakat termasuk orang Melayu juga kelihatan tidak begitu serius mahu memartabatkan kedudukan bahasa Melayu. Hal ini berlaku mungkin kerana kita sudah terlalu selesa dan yakin bahawa kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin kerana diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Kita tidak sedar adanya ancaman terhadap kedudukan tersebut di samping tahap keseriusan pencemaran yang sedang merosakkan bahasa Melayu.
Misalnya, sedar atau tidak pada hari ini sebahagian besar daripada anggota masyarakat semakin rancak menggunakan bahasa pasar dan rojak dalam perbualan harian serta tidak mempunyai iltizam yang kuat untuk membantu kerajaan mahupun DBP. Ironinya, kita membiarkan sahaja segala bentuk pencemaran bahasa yang berlaku di sekeliling kita baik dari segi pertuturan mahupun penulisan. Kita sepatutnya boleh memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan cara sama ada menegur kesilapan orang dan memperbetulkan pencemaran yang berlaku atau jika tidak mampu menegur, melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa.
Satu lagi sikap masyarakat yang cuba ‘membunuh’ bahasa Melayu ialah terlalu mementingkan bahasa Inggeris. Kita tidak menafikan kepentingan bahasa antarabangsa ini, tetapi janganlah sampai mengetepikan bahasa Melayu. Kita sepatutnya berbangga berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan, tetapi malangnya dalam banyak majlis dan mesyuarat kita masih menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya atau bahasa rojak. Ini secara tidak langsung menidakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ironinya, bahasa adalah jiwa bangsa dan setiap bangsa yang merdeka perlu memelihara dan memartabatkan bahasa kebangsaan masing-masing. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk terus mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ingat, bertindaklah sebelum terlambat atau sebelum nasi menjadi bubur. Jangan sudah kecurian baharu mengunci pintu. Jika sikap kita tidak berubah sekali gus gagal untuk meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang sewajarnya, pasti suatu hari nanti anak cucu kita hanya dapat membaca dalam buku sejarah bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa kebangsaan Malaysia. Sama-samalah kita bermuhasabah dan renung-renungkan perkara ini demi survival bahasa Melayu yang akan menelusuri kegemilangan bangsa dan negara ini.
Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed
Kita Sendiri Tidak Peduli Bahasa Melayu
0 Comments