Kebun Durian Musang King: YB, Jangan Buat Keliru – Apek Cina

PETALING JAYA: Isu penguatkuasaan memusnahkan kebun haram durian Musang King dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, Pahang menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen selain pelbagai pihak mengeluarkan pandangan.

Tidak ketinggalan melontarkan pandangan adalah personaliti media sosial yang juga pemilik akaun Facebook Ulasan Apek Cina atau nama sebenarnya, Zee How Tai yang ‘naik marah’ dengan tindakan segelintir wakil rakyat ‘membela’ pekebun-pekebun tersebut.

Dalam hantaran video terbaharunya, How Tai yang juga seorang pengamal undang-undang mengulas mengenai dakwaan Kerajaan Negeri Pahang tidak menghiraukan perintah mahkamah untuk menggantung tindakan mengusir atau mencegah perayu memasuki kebun.

Setakat pukul 6.30 pagi ini, video itu mendapat 98,000 tontonan, 3,600 perkongsian dan 936 komen.

How Tai yang membacakan perintah mahkamah tersebut berkata, HSK Batu Talam tidak termasuk dalam senarai kawasan yang ditulis dalam perintah berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, sebelum membuat dakwaan Kerajaan Negeri Pahang mengingkari dan tidak menghiraukan perintah mahkamah, wakil rakyat terlibat diminta meneliti perintah mahkamah itu terlebih dahulu.

“Jangan cuba mengelirukan sesiapa di sini. Dalam perintah ini tak tulis Hutan Simpan Kekal Batu Talam,” katanya.

Dalam video tersebut, How Tai turut menyatakan pandanganya berhubung kesalahan dilakukan pekebun-pekebun durian itu mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Enakmen Negeri Pahang berhubung pembayaran levi kegunaan tanah.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap operasi penguatkuasaan memusnahkan kebun haram durian Musang King dalam HSK Batu Talam tidak dijadikan isu perkauman.

Beliau berkata, sebelum ini, kerja-kerja penguatkuasaan turut dilakukan di Sungai Ichat (terdapat pekebun India) dan Lembah Bertam (pekebun Cina) di Cameron Highlands serta di Kechau, Lipis (pelombong emas Melayu).

Katanya, ia adalah operasi penguatkuasaan biasa tetapi mendapat tentangan serta provokasi dengan kata-kata kesat dikeluarkan ke arah pegawai dan kakitangan penguat kuasa.

“Atas dakwaan kononnya operasi penguatkuasaan ini melanggar perintah Mahkamah Rayuan, ia sebenarnya tidak kerana dilakukan di luar kawasan kebun durian yang dimaksudkan yang dimiliki oleh Royal Pahang Durian Resoruces PKPP Sdn. Bhd.

“Operasi penguatkuasaan ini serta kawasan dijalankan penguatkuasaan ialah setelah mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang (LA) Negeri yang sebelum itu telah merujuk kembali perkara ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya.

Sebelum itu, kumpulan 18 individu termasuk seorang wanita disyaki pekebun haram yang ditahan kerana memasuki kawasan HSK Batu Talam tanpa kebenaran pada Ahad lalu direman dua hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE
Kebun Durian Musang King: YB, Jangan Buat Keliru – Apek Cina

Post a Comment

0 Comments

loading...