Apabila berlaku kisah yang tidak boleh diterima akal, pencerobohan tanah kerajaan seluas lebih 100 padang bola di Raub, Pahang, sesetengah dalam kalangan kita mungkin tertoleh pada sejarah. Ada catatan dengan kisah hampir sama tetapi tujuan dan tindakannya berbeza.
Sejarah bukan peristiwa yang terputus dengan perdu kejadian semasa, malah saling berkait dan boleh dijungkir balik sebagai renungan dan iktibar. Sejarah adalah cermin pandang belakang untuk kita menuju masa depan.
Hal ini sama juga dengan kisah pencerobohan tanah milik kerajaan.
Ada beberapa catatan luar biasa mengenai pencerobohan ini. Pertama, keluasan yang diceroboh sangat luar biasa. Kedua, bukan untuk menanam sayur tetapi pokok jangka panjang – durian musang king. Ketiga, pencerobohan berlaku dalam jangka masa sangat lama iaitu lebih 15 tahun. Semua ini catatan luar biasa yang mengundang persoalan bertalu-talu daripada rakyat jelata.
Apabila melihat pencerobohan ini, saya segera teringat sejarah lampau di mana rakyat yang miskin dan tidak bertanah untuk bercucuk tanam meneroka tanah kerajaan di Telok Gong, Selangor. Kejadian berlaku 10 tahun lepas merdeka, 1967. Peneroka-peneroka itu adalah orang yang lapar tetapi waras. Meneroka hanya untuk hidup.
Saya mengamati dari dekat semua catatan mengenai Telok Gong, sama ada daripada surat khabar atau catatan peribadi mereka yang terlibat secara langsung. Ternyata meneroka tanah kerajaan untuk menanam sayur tidak sama dengan ceroboh tanah kerajaan untuk menanam durian musang king.
Peristiwa Telok Gong dicetuskan oleh aktivis masyarakat, Hamid Tuah pada 10 Ogos 1967 bersama-sama 530 petani Melayu yang tidak bertanah. Mereka membersihkan kawasan terbiar kemudian menanam sayur dan membina bangsal untuk keluarga berteduh. Mereka ini petani miskin yang berusaha untuk hidup.
Kawasan seluas 405 hektar itu milik kerajaan negeri Selangor. Hamid Tuah dan rakan-rakan bukan menceroboh dan merosakkan hutan simpan tetapi hanya menanam sayur untuk menyara keluarga. Dalam keadaan dihimpit kemiskinan, ada pula tanah terbiar, tentulah lebih baik dimanfaatkan dengan menanam sayur. Dapat juga seringgit dua untuk menyara keluarga.
Memanglah menceroboh tanah kerajaan satu perbuatan salah. Bagaimanapun, sudut pandangan penguasa dan petani yang dihimpit kemiskinan adalah berbeza. Kedudukan mereka juga berbeza.
Dari sudut petani miskin, hidup mereka amat mendesak, ibarat terjatuh ke dalam sungai. Kalau tidak menggerakkan kaki dan tangan, mereka akan mati kelemasan.
Tetapi di sudut penguasa dari bilik berhawa dingin, menceroboh adalah satu kesalahan. Maka pihak berkuasa pun menggunakan kuasa mengarahkan kawasan yang ditanam sayur itu dikosongkan dalam masa seminggu. Kalau tidak mematuhi arahan, tindakan akan dikenakan kepada yang ingkar.
Pihak berkuasa menangkap Hamid Tuah dan beberapa pengikutnya yang ingkar. Petani-petani Melayu yang miskin itu tidak ada kuasa politik. Mereka melakukan kerana keperluan hidup dengan tanggapan, tanah terbiar apa salahnya dimanfaatkan hingga ada projek dibangunkan di situ.
Mahasiswa Universiti Malaya (UM) melalui Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) mengambil cakna dengan menganjurkan program di sudut pidato sambil mendesak kerajaan membebaskan Hamid Tuah dan pengikut-pengikutnya. Mereka berarak ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyerahkan memorandum.
Tidak ada parti politik yang menumpang di sebalik isu meneroka tanah kerajaan ini. Pihak yang banyak memperjuangkan nasib peneroka hanya kumpulan mahasiswa dan golongan penyair. Suara penyair ini diabadikan dalam antologi puisi Telok Gong.
Kerajaan pula tidak melihat melampaui peruntukan undang-undang.
Apabila membuat penyelidikan di surat khabar yang dikawal kerajaan, saya dapati pendirian mereka sangat berbeza dengan kedudukan sebagai suara rakyat. Mereka berada di sebelah kerajaan secara mutlak, tanpa melihat dengan laras kemanusiaan akan kesempitan hidup golongan petani Melayu yang miskin itu.
Hanya disebabkan seorang dua aktivis sosialis dari UM yang menyokong Hamid Tuah dan orang-orangnya, surat khabar kawalan kerajaan terus menutup kewarasan perihal kehidupan petani miskin dan tanah terbiar itu. Petani miskin hilang suara apabila surat khabar yang seharusnya membela nasib mereka bertukar menjadi risalah kerajaan.
Peristiwa Telok Gong tidak boleh disamakan dengan menceroboh tanah kerajaan yang menjadi kontroversi di Raub. Di Telok Gong, petani meneroka secara haram demi kelangsungan hidup. Mereka hanya menanam sayur yang memberikan hasil segera tetapi sedikit.
Petani-petani Melayu yang miskin itu tidak bermimpi menjadi jutawan hasil meneroka tanah kerajaan. Walaupun begitu, ketegasan pihak berkuasa agak terlampau – membakar bangsal tempat keluarga berlindung dan memusnahkan semua tanaman.
Tetapi di Raub, pencerobohan berlaku sudah lebih 15 tahun. Durian musang king sudah beberapa kali mengeluarkan hasil dan nilainya sangat lumayan. Sudah tentu bukan sekadar untuk kelangsungan hidup seperti petani miskin di Telok Gong. Di Raub, kelihatan ada parti politik yang mempertahankan tindakan penceroboh.
Selepas lebih 15 tahun barulah penguasa nampak ada ladang seluas 100 padang bola itu.
David Copperfield ada di mana-mana. Antara Telok Gong dan Raub, ada rujukan sejarah di tengah-tengahnya. Kita boleh melihat peribadi dua kelas manusia. Satu terpaksa melakukan suatu yang menyalahi undang-undang demi kelangsungan hidup. Satu lagi melakukan perkara yang sama untuk mengaut keuntungan dan kemewahan.
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Antara Telok Gong Dan Raub
0 Comments