IPOH: Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini difahamkan untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya ini, hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid yang mengulas pendaratan helikopter itu berkata, setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.
“Helikopter tersebut didapati mendarat di Padang Ipoh pada pukul 9.55 hingga 10.15 pagi ini.
“Helikopter tersebut tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh. Kita sudah salurkan info ini kepada pihak CAAM Ipoh,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Terdahulu orang ramai dikejutkan dengan kehadiran sebuah helikopter yang mendarat di Padang Ipoh di sini dipercayai milik syarikat swasta.
Helikopter yang dinaiki dua lelaki itu dikatakan bertujuan untuk mengambil tempahan nasi kandar dari sebuah restoran popular di bandar raya ini yang dikenali sebagai nasi ganja.
Sementara itu, jurucakap restoran nasi ganja itu yang enggan namanya disiarkan mengesahkan dia menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan helikopter.
“Saya agak ragu-ragu juga kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.
“Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan memang benar diambil menggunakan helikopter.
“Ini pertama kali tempahan diambil oleh pelanggan menggunakan helikopter. Ia saya sifatkan tempahan yang diambil dengan cara paling mewah yang pernah saya terima tetapi harga jualan tetap sama iaitu RM10 setiap bungkus,” katanya. - UTUSAN
Ambil Pesanan Nasi Ganja Guna Helikopter
0 Comments