MUTAKHIR ini, timbul beberapa isu menarik mengenai politik bukan Melayu. Bukan sahaja politik Melayu berpecah antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Tetapi perpecahan juga berlaku kepada politik bukan Melayu.
Mungkin ramai tidak tahu, politik bukan Melayu yang ditunjangi politik Cina berdepan dengan krisis lebih serius daripada politik Melayu. DAP yang selama ini dikatakan menjuarai politik Cina mula terpalit dengan pelbagai masalah.
Antaranya golongan berpendidikan Cina dalam DAP mengatakan parti itu tidak lagi bersifat membela kepentingan dan hak Cina tetapi lebih menjurus kepada kemalaysiaan. Ini disebabkan golongan berpendidikan bukan Cina yang mendominasi DAP lebih memperlihatkan parti itu bersifat komunal (hak secara bersama), bukan bersifat etnik.
Akhirnya, DAP kini mulai ditolak sedikit demi sedikit dalam kalangan masyarakat Cina. Ini disebabkan apabila masyarakat Cina menghadapi masalah, DAP kelihatan kurang mampu membela nasib masyarakat Cina. Dalam hal ini, masyarakat Cina melihat DAP lebih mementingkan kepentingan agenda politik daripada agenda masyarakat Cina di negara ini.
Ini seterusnya menyebabkan golongan berpendidikan Cina dalam DAP mulai mempersoalkan beberapa tokoh berpendidikan bukan Cina yang sering mempergunakan agenda kepentingan peribadi daripada memberikan imej yang lebih positif dalam kalangan masyarakat Cina.
Tidak lama lagi akan berlaku pemilihan dalam DAP, lihatlah golongan mana yang mendominasi. Ini sudah pasti akan memberikan impak kepada pertandingan dalam merebut kerusi majoriti bukan Melayu dan campuran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Apa yang pasti kini, DAP bakal ditentang oleh MCA dan Gerakan jika dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung esok memilih untuk menentang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Malah, kenyataan Gerakan untuk bertanding di hampir semua kerusi bukan Melayu dan campuran menandakan parti itu tidak akan berganjak untuk berkongsi kerusi dengan MCA.
Perselisihan MCA dan Gerakan pada kali ini lebih serius berbanding peristiwa kekalahan MCA kepada Gerakan di Pulau Pinang.
Namun kali ini, jika Gerakan memilih menentang BN akan menjadikan MCA terpaksa bertarung untuk menentukan parti itu hidup atau mati dalam politik Cina.
Jika MT UMNO memilih untuk bersama dengan PN dalam PRU-15, maka MCA berdepan krisis yang mana parti itu perlu membuktikan masih relevan dalam konteks politik Cina.
Ini sudah pasti akan merintis jalan sama ada bersama dengan Gerakan menentang PH atau MCA terpaksa bertanding menentang Gerakan, andai kata Gerakan tidak mahu berkongsi kerusi.
MESRA
Situasi ini pasti jelas bahawa dalam politik Cina pasti akan diwarnai pertandingan tiga penjuru pada PRU-15. Malah dalam politik India juga turut terkesan dengan iklim perubahan. MIC kini lebih mesra dengan PN. Jika MIC menyertai PN, maka kemungkinan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) menyertai BN seterusnya bakal menentang MIC dan DAP.
Tetapi jika MIC tidak menyertai PN, IPF akan juga menentang MIC. Ini akan menyebabkan masyarakat India terpaksa memilih sama ada MIC, IPF, Gerakan atau PH. Bukan sifir jalan mudah untuk mana-mana parti politik India memenangi kerusi dalam PRU-15.
Perpecahan yang berlaku dalam politik bukan Melayu di Semenanjung juga memberikan tempias kepada politik Cina Sarawak. Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini, bukan sahaja akan berlaku pertandingan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan DAP, tetapi juga menerima pendatang baharu dalam kalangan parti kecil.
Wujud selepas berlakunya perpecahan dalam SUPP pada 2014, kini Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mesra dengan Bersatu bakal lebih bersedia menghadapi kekuatan SUPP, malah Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).
Ini menunjukkan politik Cina Sarawak kini berdepan pertandingan antara SUPP, SPDP, PSB, UPP dan DAP. DAP di Sarawak turut menghadapi krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat Cina disebabkan lebih bersifat ‘ke-Semenanjungan’ daripada ‘ke-Sarawakian.’
Walaupun kita melihat perpecahan dalam politik bukan Melayu lebih serius daripada perpecahan politik Melayu tetapi kerumitan dan keributan dalam politik bukan Melayu kurang ditonjolkan oleh masyarakat bukan Melayu.
Punca utama adalah kerana masyarakat bukan Melayu lebih memilih agenda keutamaan penyatuan dan kepentingan hak daripada perselisihan perbezaan pandangan dan politik. Maka politik bukan Melayu yang nampaknya lemah dan berpecah tetapi kelihatan kuat dari dalaman, bukannya luaran. Ini adalah sesuatu yang berbeza dengan politik Melayu.
Politik Melayu lebih ke arah meruntuhkan dalaman sehingga ke luaran tanpa hala tuju sehingga boleh menghancurkan agama, bangsa dan negara. Kepentingan peribadi begitu terserlah mengatasi yang lain. Seterusnya memperlihatkan politik Melayu lemah sehingga memerlukan talian hayat politik bukan Melayu. Terpaksa mengemis.
Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Jika tidak segera kembali ke pangkal jalan, maka akan tersesat mereka ke hujung jalan. Ketika itu, sudah terlambat untuk berpatah balik kerana nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Politik Cina bersifat carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua, air dicincang tidak akan putus. Berbanding politik sesama Melayu, boleh diungkapkan dengan kata-kata: “pergi mampuslah kamu.” Putus habis ikatan persaudaraan, pecah dalam semua perkara.
Dalam kalangan parti politik pecah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pecah, sesama usahawan pecah, sesama orang agama pecah, sesama artis pecah, sesama akademik pecah, dalam sukan pecah. Semua pecah. Masalah sosial makin tenat. Mahu kuat macam mana?
Hilang habis panduan al-Quran, sunnah. Terbit kata-kata yang menyakitkan hati, kafir, munafik, binatang politik, anjing menyalak dan macam-macam kata-kata kesat dan nista. Politik Melayu menuju kepupusan, musuh bertepuk tangan. Mereka untung, kita rugi. Berbaloikah ini semua? Fikirkanlah.
Oleh: DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah dan
Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah
Politik Cina Carik-Carik Bulu Ayam
0 Comments