Istilah kepentingan rakyat, bangsa hanya ‘kelentong’ politikus terus menipu
BANGI – Kemelut yang berlaku di antara parti politik Melayu ketika ini khususnya UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukanlah semata-mata persaingan idealisme atau perjuangan.
Bahkan, kemelut itu juga bukanlah kerana bersaing untuk menonjolkan parti mana yang mampu memerintah negara dengan lebih baik, kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
Sebaliknya, beliau menyifatkan kemelut politik di antara dua parti Melayu itu sebenarnya adalah ‘pertempuran’ di dalam konteks manfaat atau demi kepentingan tertentu.
“Mereka melakukan kempen memujuk rakyat, yang pada pandangan umum seolah-olah mereka ini berjuang untuk bangsa, agama dan negara.
“Tetapi hakikatnya, mereka bergaduh kerana rebut kekayaan dan kepentingan kerana bila jadi menteri, pasti akan dapat kaut hasil daripada projek-projek yang disalurkan melalui kementerian,” katanya dalam Wawancara Eksklusif di TV Pertiwi.
Ustaz Abdullah Zaik berkata, apabila sesuatu parti memegang kementerian, namun tidak memperoleh ‘hasil’ banyak untuk diri sendiri maka jadilah punca bergaduh sesama parti.
“Jadi di dalam pakatan yang ada iaitu PN dan sebagainya, dia memerintah bersama tetapi dia merasakan kerusi sikit tetapi pegang kementerian penting dan dapat kaut lebih.
“Sedangkan yang kerusi banyak dapat kaut sikit, sedangkan patutnya dapat banyak dan kalau boleh mahu kaut semua,” katanya.
Atas sebab itu, beliau menganggap istilah rakyat atau kepentingan bangsa dan agama yang disebut parti-parti berkenaan hanyalah ‘kelentong’ untuk menipu.
“Sedangkan, yang digaduhkan sebenarnya oleh mereka adalah siapa yang dapat banyak (manfaat) dan siapa dapat sikit.
“Mereka melaksanakan satu budaya dengan ambil manfaat daripada kekayaan negara untuk mengaut hasil demi kepentingan mereka,” katanya. - ismaweb.net
Pertempuran UMNO-Bersatu Bukan Kerana Idealisme Tapi Manfaat Tertentu
0 Comments