TERDAPAT 11 garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Garis panduan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada tahun lalu.
Antaranya Kaedah Pelaksanaan Ibadah Dalam Bulan Ramadan, Garis Panduan Kedudukan Saf Solat, Tip Menghadapi Covid-19: Panduan Menurut Perspektif Islam dan Garis Panduan Solat Musafir dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19.
Terdapat juga Garis Panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Garis Panduan Pelaksanaan Perkahwinan Orang Islam Secara Dalam Talian serta Garis Panduan Solat Jumaat, Solat Jemaah dan Solat Jenazah.
Daripada pemerhatian saya, ada inisiatif oleh beberapa masjid atau surau yang membuat peraturan tambahan seperti memperkenalkan jalan masuk sehala ke dalam dewan sembahyang dan jalan keluar sehala melalui pintu berlainan.
Jemaah dilarang keluar masuk melalui pintu sama kononnya untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Maksudnya, jemaah masuk ke dalam dewan masjid atau surau melalui pintu masuk yang berlainan daripada pintu keluar.
Pada pendapat saya, ia boleh mengelirukan orang ramai yang tidak arif dengan peraturan tambahan terutama para musafir serta jemaah baharu.
Secara logiknya, peraturan sebegini tidak perlu diamalkan di masjid atau surau kerana proses aliran masuk jemaah tidak sama seperti pusat beli-belah yang kerap berlaku pertembungan pengguna di pintu masuk dan keluar yang sama.
Di masjid atau surau, jemaah masuk ke dewan solat mengikut SOP yang diwajibkan.
Setelah selesai solat, mereka keluar dewan masjid atau surau secara berjemaah dan teratur tanpa bertembung atau berdepan (face to face) dengan jemaah lain seperti yang berlaku di pusat beli-belah dan sebagainya.
Jadi, kebarangkalian jangkitan wabak amat rendah kerana jemaah keluar dari dewan masjid dan surau tidak bertentangan muka dengan jemaah lain.
Terdapat beberapa kelemahan jika peraturan tambahan ini diteruskan terutama semasa solat tarawih nanti.
Pertama, pihak surau terpaksa menugaskan sukarelawan di pintu-pintu masuk dan keluar untuk memastikan pematuhan.
Kedua, jemaah yang sedang khusyuk beribadah di dalam dewan solat terganggu dengan suara teguran dan arahan kepada jemaah yang tidak sedar tentang peraturan itu.
Ketiga, para musafir dari pelbagai tempat ‘diganggu’ dengan peraturan tambahan ini dan keempat, kebarangkalian langkah-langkah ini akan menyusahkan orang kurang upaya (OKU).
Oleh itu, disyorkan semua masjid atau surau mengikut SOP teras yang telah diwartakan iaitu menjaga penjarakan fizikal, mengenakan pelitup muka dan membawa sejadah sebagai piawaian wajib di mana-mana masjid atau surau.
Janganlah ditambah peraturan-peraturan remeh dan tidak praktikal yang sukar untuk dilaksanakan.
Oleh: TENGKU MAN
Senawang, Negeri Sembilan
Masjid Tolong Jangan Tambah Peraturan Tidak Wajib
0 Comments