Ke Manakah Toleransi Agama?

Peristiwa dua pengawal Melayu dibelasah dan diugut majikan bukan Melayu kerana berpuasa yang disangka akan menjejaskan prestasi kerja mereka, bukan sahaja tidak patut berlaku langsung atas dasar toleransi agama, malah berbahaya sekali untuk mencetuskan perbalahan kaum kerana sensitiviti etnik Melayu sebagai umat Islam sama sekali tidak dihormati.

Sepatutnya dalam kehidupan masyarakat majmuk, toleransi agama ialah cara paling afdal untuk mengurus kesefahaman bagi menjaga keharmonian antara penganutan agama yang tidak sama. Secara umumnya, ia sikap berkaitan kebenaran selain penerimaan amalan penganut agama lain, walaupun kita sebenarnya tidak pun berkenan dengan agama berkenaan. Ia amat penting kerana melalui toleransi ini, banyak perbezaan kepercayaan teologi sesama kita yang berlainan agama dapat diatasi secara bertolak ansur, biarpun tiada persetujuan penuh.

Cara begini sebenarnya sudah cukup baik untuk mewujudkan suasana aman, selain hormat-menghormati dalam masyarakat pada sesuatu masa itu atau untuk sementara waktu.

Dalam jangka masa panjang, toleransi agama perlu digantikan oleh penerimaan agama, iaitu kemampuan menghargai dan menghayati nilai, kepercayaan dan amalan kerohanian berbeza dengan yang dianuti kelompok lain. Sehubungan itu, apa-apa yang dipercayai dalam agama lain disambut baik dengan minda, hati dan tangan terbuka sebagai tanda hemah dan muhibah. Selanjutnya melalui penerimaan ini akan wujud usaha berdampingan dengan penganut agama lain untuk menghulur bantuan selain memberi kerjasama.

Namun, semuanya tidak berapa berlaku di negara ini apabila selain kejadian belasah dan ugut sebegini, penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW pada masa lalu dan terkini iklan hari raya bertemakan perjudian, terdapat pelbagai kes terpencil dan tidak dilaporkan melibatkan larangan kepada pekerja Muslim untuk menunaikan fardu Jumaat, mengerjakan solat lima waktu dan lain-lain dalam sektor swasta yang rata-ratanya dikawal bukan Muslim. Semua ini memperlihat tiadanya toleransi agama, apatah lagi penerimaan agama.

Tiadanya toleransi ini berlaku antaranya kerana kepentingan diri, tiada kesabaran dan kejahilan. Daripada kesemua sebabnya, kurang atau tiadanya pengetahuan tentang sesuatu itu adalah alasan popular. Ia selalu digunakan agar lebih mudah diberikan kemaafan. Namun, kejadian akibat kejahilan ini asyik terus-terusan berlaku dan datang daripada kelompok sama, yang balik-balik mengatakan mereka tiada kepandaian mengenai hal terbabit.

Alasan sebegini sebenarnya tidak boleh diterima lagi selepas berulangnya kejadian tiada toleransi dalam waktu singkat pula. Ini kerana kelompok terbabit tidak pernah mahu sedar untuk insaf bahawa kelakuan sebegini bukan sahaja sangat menghina sifatnya, ia amat berbahaya sehingga boleh menimbulkan konflik keganasan berdarah.

MAFIA
Dalam kes belasah dan ugut ini yang walaupun berkait dengan cara mafia menangani masalah, ia tetap perbuatan terkutuk mengikut budaya Timur yang pertama-tamanya memberi perhatian kepada kepentingan kolektivisme, iaitu prinsip mengutamakan kebaikan kepada seluruh masyarakat daripada faedah kepada individu atau diri sendiri. Namun yang berlaku ialah kebalikannya, iaitu kepentingan individualisme yang mempercayai bahawa kehendak individu jauh lebih penting daripada kebajikan seluruh masyarakat.

Gejala tiadanya toleransi yang acap berlaku ini perlu juga diperkata dalam konteks kenegaraan, iaitu pembentukan negara bangsa yang antaranya untuk melahirkan rakyat yang memiliki jati diri, yang terkesan daripada Rukun Negara. Sehubungan itu, prinsip kelima, Kesopanan dan Kesusilaan bukan sahaja tidak diamalkan, ia dicabuli.

Pencabulan ini selain ekoran sikap buruk pihak terbabit dari kelompok tertentu itu, hendaklah diteliti dengan serius dari segi kegagalan proses kenegaraan ini.

Dalam hal ini, antara isunya ialah kelompok tertentu itu didapati tidak terikat dengan negara ini dari segi emosi bangga, cinta dan setia. Selain tiada jati diri dari segi kesantunan, mereka juga didapati tidak banyak tahu tentang negara ini yang diakui tanah air melalui kewarganegaraan yang dipegang. Dengan kata lain, mereka orang asing yang bermentaliti pengunjung sahaja.

Sikap begini yang rata-ratanya terdapat pada kelompok tertentu itu dan selalu dimanifestasikan dalam tindakan antinasional, iaitu yang bertentangan dengan kepentingan negara, hendaklah bukan sahaja dipandang serius, ia harus ditangani segera agar tindakan hina dan cabul ini betul-betul tidak berlaku lagi. Jaminan ini penting kerana had kesabaran etnik Melayu dan umat Islam ada batasnya setelah diasak dengan penghinaan yang menjatuhkan maruah, apatah lagi yang menodai kesucian agama mereka.

Seperkara penting di sini ialah jarang, malah tiada langsung tindak balas pemimpin kelompok tertentu itu untuk menegur agar lebih berhati-hati dalam soal membabitkan budaya dan agama mana-mana kelompok. Ini kerana keganasan mudah tercetus apabila sensitiviti budaya dan agama itu tidak dihormati.

Sebenarnya etnik Melayu dan umat Islam di Malaysia, meskipun merupakan kelompok etnoagama tegar, secara perbandingannya adalah waras sekali untuk tidak bertindak di luar lunas perundangan negara apabila darjat etnik mereka dihina dan kesucian agama mereka dicerobohi. Namun, sikap tabah ini jangan sesekali diambil kesempatan mana-mana etnik. Ini kerana air tenang jangan disangka tiada buaya.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Ke Manakah Toleransi Agama?

Post a Comment

0 Comments

loading...