Sejak penubuhannya lagi, DAP telah mengambarkan kepada kaum Cina Malaysia bahawa UMNO adalah parti perkauman yang anti bukan Melayu. UMNO dilihat mereka seolah-olah parti yang hanya menjaga kedudukan bumiputera dan mendiskriminasi bukan bumiputera. Tetapi, hari ini dengan tiba-tiba DAP mengatakan tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO. UMNO menjadi suci bagi mencapai matlamat politik mereka.
Malah, DAP juga menyebarkan fahaman bahawa UMNO tidak menjaga sekolah Cina atau sekolah vernakular. UMNO tidak akan sesekali membina sekolah Cina yang baharu. UMNO digambarkan ingin menghapuskan sekolah Cina, walaupun hakikatnya semasa zaman UMNOlah, sekolah Cina terus bertambah.
Pun begitu, DAP berjaya menanamkan kebencian itu sehingga kaum Cina terasa memang benar UMNO itu tidak suka kepada kewujudan sekolah Cina. Kaum Cina juga diseru untuk mempertahankan sekolah Cina dengan menolak UMNO. UMNO umpama parti perosak perpaduan Malaysian Malaysia. Tetapi, hari ini dengan tiba-tiba DAP mengatakan tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO.
Persoalannya, di manakah suara MCA dalam mempertahankan UMNO? Adakah MCA turut bersetuju dengan kata-kata DAP untuk bekerjasama dengan UMNO? DAP sejak sekian lama memberikan gambaran yang agak kurang baik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Namun, secara tiba-tiba semua dosa UMNO disucikan demi kerjasama politik bagi pembentukan sebuah kerajaan.
Adakah waras untuk kaum Cina menerima kenyataan ini sejak sekian lama ditanam dengan persepsi yang kurang baik ke atas UMNO? Dahulu, DAP kata Pas baik, tetapi kini Pas pula kurang baik. Pas turut dilabelkan sebagai ekstremis dan Taliban.
Isunya, siapakah sebenarnya yang baik dan betul dalam takrifan politik untuk kaum Cina?
ASIMILASI
Sehingga suatu ketika, DAP turut menolak apa jua konsep asimilasi ke atas bangsa Malaysia kerana dikaitkan dengan elemen UMNO untuk memelayukan Cina. DAP lebih memilih untuk menjadi lebih Cina daripada China. Begitu juga MCA dan Gerakan.
Tetapi, hari ini secara tiba-tiba DAP mengatakan tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan kaum Cina.
Benarkah kata-kata tersebut wahai MCA dan MIC yang bersama UMNO? Senyap sahaja parti-parti komponen BN ini.
Takkan tidak ada satu suara untuk melawani kata-kata DAP ini? Dahulu, semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13, Pas yang digambarkan suci dan bersih pun, MCA dan MIC tidak berani mengatakan UMNO lebih suci dan baik daripada Pas.
Tetapi kini, sebaliknya berlaku. UMNO digambarkan suci dan bersih dan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula digambarkan sebagai jahat. Bulan dan bintang dijanjikan kepada kaum Cina jika DAP bekerjasama dengan UMNO. Seolah-olah kata-kata masa lampau sudah dilupakan.
Teruk benarlah, jika Cina juga mudah lupa daripada Melayu yang dipersepsikan mudah lupa. Tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain, tidak menjadi masalah asalkan kuasa ditangan. Inilah politik desperado yang sedang melanda politik Malaysia hari ini. Lakukan apa sahaja, asal kembali atau boleh berkuasa.
Inilah hakikat politik yang sebenarnya. Janganlah mengimpikan sesuatu yang bersih dan suci. Semuanya itu boleh disucikan demi memenuhi nafsu serakah kuasa.
HIPOKRASI
Justeru, sudah sampai masanya rakyat membuka mata dan mata hati. Jangan tertipu dengan permainan politik dan hipokrasi pemimpin-pemimpin politik. Mereka boleh bertukar warna dalam sekelip mata.
Kita sebagai rakyat marhaen selalu terperangkap dengan kata-kata mereka. Demi kuasa, mereka sanggup melakukan apa sahaja. Bukan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, tetapi kepentingan tembolok masing-masing. Sampai bilakah cara berpolitik kita boleh sampai ke peringkat maju seperti politik negara maju?
Letak jawatan jika bersalah sekalipun belum sakit. Ini sudah terang-terang salah, terus pertahankan yang salah. Ingat! Matlamat tidak menghalalkan cara. Apakah benar kata-kata, “kadangkala kita terpaksa melakukan perkara yang salah untuk mendapat keputusan yang betul bagi mencapai matlamat itu?”
Letih kita berhadapan dengan politik Malaysia ini. Mereka, pemimpin politik, tak rugi apa sebab ‘poket telah kembung, perut semakin buncit.’ Paling kurang, dapat pencen.
Masalahnya, yang menjadi mangsa adalah rakyat. Justeru, layakkah ini digelar sebagai wakil rakyat?
Bukalah mata wahai kaumku. Jangan kita tertipu dengan permainan politik ini. Dosa mereka terlalu banyak, cuma kita tidak pandai untuk mengiranya kerana ia kerja Tuhan, bukan kerja manusia.
Oleh: Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dan
Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah
Di Mana Suara MCA, MIC?
0 Comments