Cabaran Bina Semula Imej PDRM

Kisah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dituduh dipegang sindiket ah long menarik pemerhati pasukan keselamatan. Dakwaan itu sudah tentu sesuatu yang tidak disangka-sangka.

Sejak ‘dikembalikan’ semula ke dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) era kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad tahun 2018, Hamid yang diketahui penentang tegar skandal 1MDB, dilihat terus mempamerkan sikap outspoken, bersih, tegas lagi berani.

Seperti biasa dalam mana-mana organisasi termasuk PDRM yang memiliki kira-kira 135,000 anggota dan pegawai sudah tentu ada pelbagai ragam. Sebahagian menyukai personaliti dibawa Hamid, sebahagian berasa tidak serasi manakala ada juga yang tidak ambil pusing dengan cara ketua polis negara itu yang kebanyakan masa ‘diasuh’ di Cawangan Khas.

Namun, ketika Hamid yang masih berkobar-kobar mahu membersihkan imej pasukan diterajuinya tiba-tiba berlaku sedikit ‘kejutan’ dengan dakwaan tidak enak. Ikut jadual, bulan depan perkhidmatan Hamid tamat tetapi belum ada pengesahan sama ada beliau ‘dibenar’ bersara atau bakal terus ‘dikerah’ bekerja.

Bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan PDRM, sudah tentu dakwaan tersebut ‘luar biasa’. Tidak diketahui bagaimana individu yang disyaki terlibat dengan jenayah mempunyai kekuatan menggunakan nama Hamid bagi ‘menyelamatkan’ diri.

Hamid menafikan hubungan tersebut dan memaklumkan lelaki yang didakwa di mahkamah semalam atas pertuduhan mencederakan, mengugut dan ‘menghina’ dua pengawal peribadinya tidak dikenali beliau.

Pengajaran di sebalik kisah Hamid, sebenarnya bukan sesuatu yang mustahil mengenai manusia yang terlibat dengan aktiviti haram akan ‘memetik’ mana-mana nama ‘orang ada kuasa’ untuk dijadikan pelindung.

Sebenarnya, hal-hal kecil sebegitu memang berlaku dan dalam kes-kes tersebut, ketua-ketua jabatan harus ‘ikhlas’ menilai sama ada tohmahan tersebut benar atau palsu. Jika tohmahan boleh berlaku ke atas Hamid mungkin ada juga kejadian sama menimpa orang lain.

Justeru, pepatah Melayu ‘tiada angin masakan pokok bergoyang’ adakala tidak relevan. Kisah melanda Hamid mungkin contoh untuk menepis pepatah tersebut.

Sebenarnya, nama Hamid dalam polis sangat gah. Hamid adalah ketua polis negara paling popular kerana ketelusannya sehingga adakalanya timbul anggapan tindakan beliau itu sebagai sengaja membuka pekung sendiri. Malah seorang ketua polis negara pernah mengakui, beliau sendiri tidak mampu bertindak seperti Hamid.

Zaman Hamid juga banyak kerenah PDRM terserlah terutama isu kartel polis. Kepincangan demi kepincangan yang didedahkan sehingga ada yang menganggapnya ia sebagai satu ‘warisan’.

Selepas semua terdedah, masyarakat kini ternanti-nanti bagaimana pula cara untuk menyelesaikan? Membongkar sana-sini adalah mudah tetapi untuk memulihkan semula apa yang buruk, ia adalah cabaran. - utusan.com.my

Cabaran Bina Semula Imej PDRM

Post a Comment

0 Comments

loading...