4 Ditahan Berhubung Kes Pukul Pekerja Kerana Puasa

SHAH ALAM: Polis Klang Selatan menahan empat individu yang disyaki terlibat dengan kejadian berkaitan dua pekerja lelaki dipukul secara bergilir kerana berpuasa.

Dalam kenyataan semalam Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 4.16 petang di Balai Polis Klang berkaitan kejadian dua lelaki tersebut dipukul secara bergilir di bahagian belakang badan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa,” katanya.


Shamsul Amar berkata, majikan lelaki tersebut juga mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada dua lelaki tersebut, dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Klang hari ini.

“Polis Daerah Klang Selatan ingin menegaskan bahawa, kes ini tidak melibatkan sebarang isu perkauman,” katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat atau mana-mana individu, agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman, sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang-undang. - freemalaysiatoday.com



4 Ditahan Berhubung Kes Pukul Pekerja Kerana Puasa

Post a Comment

0 Comments

loading...