Roti canai terbang! Sambutan Bulan Kemerdekaan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia bertukar riuh

ROTI canai terbang menggamatkan suasana majlis sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-63 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor. Aksi yang menjadi tumpuan warga emas.

Tetamu dan beberapa ahli persatuan sukaralewan yang hadir bagi memeriahkan majlis itu ditunjukkan oleh penasihat pusat jagaan berkenaan, Mohiadin Bahado yang mempunyai kepakaran membuat dan menebar roti canai. : KitaReporters

Aksi beliau itu sememangnya dinanti-nantikan mereka yang hadir selepas diuar-uarkan dalam group WhatsApp dijemput menghadiri majlis berkenaan sebagai salah satu gimik memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan bersama-sama penghuni pusat jagaan itu.

Gaya tersendiri Mohiadin menebar, mengoreng serta melambung roti canai itu ke udara seperti piring terbang dan disambut beliau sebelum menepuk beberapa kali mendapat tepukan gemuruh tetamu.

Beliau juga berjaya menunjukkan aksi membaling roti canai itu seperti piring terbang di udara kemudian jatuh tepat ke dalam pinggan yang dipegang tetamu menambahkan lagi suasana riuh rendah majlis berkenaan.

Menurut Mohiadin, ketika remaja dahulu dia terpaksa mencari wang saku sendiri dan bekerja di restoran menyediakan menu roti canai yang secara tidak langsung memberi peluang kepadanya mempelajari cara membuat makanan itu.

Mohiadin menunjukkan cara menerbangkan roti canai ke dalam pinggan pelanggan.

Katanya, selepas mendapat kepercayaan pemilik restoran itu, dia menjadi penebar roti canai dan mula membuat pelbagai aksi menebar dan melemparkan ke udara seperti piring terbang sebagai daya tarikan kepada pelanggan.

“Aksi itu mendapat tepukan dan sorakan daripada pelanggan yang berkunjung ke restoran tempat saya bekerja sebelum berhenti untuk menumpukan perhatian kepada kerja di agensi kerajaan selepas menamatkan pengajian di universiti.

“Bagaimanapun saya akan menunjukkan kemahiran itu apabila diminta menjadikannya salah satu gimik bagi memeriahkan majlis yang diadakan termasuk di agensi kerajaan tempat saya bertugas sebelum bersara beberapa tahun lalu,” katanya.

Beberapa penghuni memulakan majlis sambutan Bulan Kemerdekaan dengan menyampaikan lagu Negaraku.

Sementara itu majlis sambutan berkenaan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku oleh beberapa penghuni pusat jagaan itu yang kemudiannya disusuli beberapa lagu patriotik yang mendapat bimbingan daripada sukarelawan paramedik Pathama Vathy Arumugan.

Pada majlis itu juga, warga emas Alias Othman, 64, dipilih untuk menerima Anugerah Penghuni Terbaik 2020 manakala Abu Talib Borhan, 66, menerima Anugerah Terbaik Fisio dengan Rehabilitasi.

Pathma Vathy berkata, kedua-dua warga emas berkenaan walaupun tersisih di pusat jagaan itu sejak beberapa tahun lalu dan mengalami masalah kesihatan tetapi mereka tetap aktif serta rajin membantu rakan-rakan menjalankan aktiviti di situ.

Pengerusi pusat jagaan itu, Roslan Saidin, berkata sambutan bulan Kemerdekaan sering dianjurkan di pusat berkenaan sebagai salah satu aktiviti memupuk semangat patriotik dalam kalangan penghuni supaya mereka tidak berasa tersisih.

Hamidah Osman (kanan) dan Siti Khalijah Saat bersemangat memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Katanya, aksi roti canai terbang itu sebagai gimik untuk menghiburkan hati penghuni pusat jagaan berkenaan, di samping menunjukkan sikap ambil peduli pelbagai pihak khusus sukarelawan yang hadir bagi bersama-sama mereka meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.

Majlis itu dihadiri lebih 50 sukarelawan dari h0spital Kajang, h0spital Ampang, Mama Yati Harimau Malaya dari Sungai Buluh, Green Charity Nilai, Negeri Sembilan, Pasukan RnT Entertainment dan penduduk sekitar. – KitaReporters

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Sinar Viral Press

Sumber: Kisah Benar



via Sinar Viral Network

Post a Comment

0 Comments

loading...