Masya lamar Hun Haqeem jadi kekasih

KUALA LUMPUR: Meminati lakonan pelakon kacak, Hun Haqeem, penyanyi tinggi lampai, Masya Masyitah nekad melamarnya.

Bagaimanapun, Masya bukannya melamar menjadi kekasih hatinya di alam realiti, sebaliknya bekerjasama dalam video muzik single terbaharu berjudul Hapus.

Single keempat bergenre balada itu ciptaan Amybong dan Zimi Sofazr yang akan dilancarkan hari ini.

“Memang saya memilih Hun untuk menjayakan video muzik ini. Tambahan pula, dia salah seorang pelakon lelaki yang saya minati.

“Saya mula menyedari bakat lakonan Hun ketika menonton drama Cari Aku Di Syurga. Walaupun Hun hanya berlakon watak pembantu, tetapi dia memiliki aura tersendiri. Sejak itu, saya menyimpan angan mahu menyuntingnya menjadi kekasih dalam video muzik single ini.

“Tanpa diduga, Hun meledak pula dengan watak Jaafar atau Jekfer dalam drama Kampung People. Jadi, saya cadangkan nama Hun kepada syarikat pengurusan, Rocketfuel Entertainment untuk melamarnya sebagai kekasih. Jangan salah anggap, Hun hanya kekasih dalam video muzik ini,” katanya kepada BH Online.

Bekas juara program Ceria Popstar pada 2014 itu berkata, dia bersyukur lamarannya diterima Hun, malah hantaran pun sudah diberikan.

“Alhamdulillah, Hun setuju bekerjasama dengan saya. Penggambaran sudah dilakukan pada 26 Jun lalu selama sehari di sekitar Kajang,” katanya.

Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff berkata, sepatutnya single Hapus ini dipromosikan lebih awal, namun disebabkan pandemik COV1D-19, penggambaran video muzik dan tarikh pelancaran tertunda.

Bercerita mengenai single Hapus, Masya berkata, ia mengisahkan percintaan yang cukup indah.

“Bagaimanapun, kepercayaan dihancurkan apabila lelaki yang dicintainya berlaku curang di depan mata.

“Akhirnya, wanita itu mengambil keputusan memutuskan perhubungan, sekali gus menghapuskan segala kenangan berdua,” kata Masya yang kini berniaga kek.

Sebelum ini, Masya yang fasih bertutur dan menyanyi dalam bahasa Mandarin pernah muncul dengan single Teman Bintang, Mawar Terbiar dan Halimunan.

Menerusi single Hapus, ia menjadi pertaruhan ketiga Masya memilih genre balada. Lagu dan video muzik akan dilancarkan serentak, jam 9 malam ini.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: BH



via Sinar Viral Network

Post a Comment

0 Comments

loading...