9 April - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengeluarkan mayat seorang lelaki seberat 120 kilogram yang meninggal dunia ketika menyertai aktiviti jungle trekking di Sungai Ketir, Royal Belum di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, jenazah Ahirazwin Abdul Ghani, 33, telah dibawa keluar dari hutan tebal tersebut dengan menggunakan pesawat Agusta AW139 yang diterbangkan khas dari Unit Udara Pengkalan Bertam, Pulau Pinang.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi dan jarak perjalanan mengambil masa selama lapan jam untuk ke lokasi mangsa berada.
“Perjalanan itu merangkumi dua jam dengan menaiki bot dan enam jam lagi merentas hutan untuk ke lokasi mangsa berada. Operasi mengeluarkan mangsa melalui jalan darat mengalami kesukaran dan bantuan unit udara diperlukan.
“Pasukan bomba dari unit udara yang diketuai Kapten Faisal Izani Azizan bersama tiga anak kapal telah berlepas kira-kira jam 1.21 petang dan sampai di Kem Sri Banding kira-kira jam 1.54 petang. Mereka memulakan operasi ‘bodyvav’ ke lokasi kejadian,” katanya.
Azizul Aswad berkata, teknik ‘winching’ digunakan selepas mendapati tiada lokasi sesuai untuk membuat pendaratan selain keadaan fizikal hutan yang tebal.
“Mangsa berjaya dibawa keluar dan tiba di Lapangan Terbang Gerik kira-kira jam 3.33 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber: Pangkalan Udara Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia
0 Comments