Masa kini, masalah berdengkur tidak lagi hanya sinonim dengan orang lelaki, malah kaum wanita dan kanak-kanak juga ramai yang mengalaminya.
Meskipun berdengkur semasa tidur ini dianggap sebagai masalah biasa, namun ianya juga mempunyai bahaya tersendiri yang boleh memudaratkan kesihatan tubuh badan.
Masalah berdengkur semasa tidur ini sebenarnya boleh membuatkan kita berasa letih apabila bangun pada keesokan hari selain dari menyebabkan terganggunya emosi pasangan kita dek kerana bunyi dengkuran yang kuat.
Bagi yang ingin berusaha untuk mengatasi masalah berdengkur ini, disini kami kongsikan tips mudah dan sihat yang ditulis oleh Dr Ezairy M.Sallih di laman Facebooknya.
Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
8 TIP ATASI BERDENGKUR YANG MESTI ANDA TAHU
Adakah suami, isteri atau anak anda mengalami dengkuran yang teruk?
Saya beri 8 langkah sihat yang mudah untuk atasi masalah berdengkur.
1. Berat badan dan senaman
Berlebihan berat badan akan meningkatkan risiko lemak yang boleh menolak pada tekak dan memburukkan lagi masalah berdengkur. Memulakan program penurunan berat badan dan senaman dapat mengurangkan dengkuran dalam banyak individu.
2. Tukar posisi
Tidur di sebelah sisi boleh menghalang lidah daripada jatuh ke belakang dan menyekat tekak semasa tidur. Bantal boleh digunakan untuk mengelakkan anda berguling kembali ke belakang semasa tidur. Boleh cuba di rumah.
3. Hadkan Alkohol
Minum alkohol akan melegakan otot-otot pada saluran pernafasan lebih daripada biasa. Ini menyebabkan saluran pernafasan ‘collapse’ dengan lebih lagi dan memburukkan masalah berdengkur. Hadkan penggunaan alkohol (untuk penurunan berat badan).
4. Berhenti merokok
Merokok menyebabkan kesesakan nafas dan hidung yang membawa kepada masalah berdengkur yang lebih teruk . Berhenti merokok boleh membantu untuk mengurangkan berdengkur dan meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan.
5. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan tertentu boleh memberi kesan kepada masalah berdengkur. Bercakap dengan doktor anda sebelum membuat apa-apa perubahan pada ubat anda kerana mereka akan memberikan ubat yang sesuai dengan anda.
6. Mengatasi masalah hidung
Jika anda mengalami masalah hidung seperti resdung, polip dan sebagainya. Dapatkan rawatan yang sewajarnya. Nasihat dan pemeriksaan doktor adalah lebih baik.
7. Kenalpasti alahan
Masalah hidung yang disebabkan oleh alahan adalah punca biasa yang dialami oleh mereka berdengkur. Ujian untuk alahan boleh membantu anda untuk mengenal pasti dan mengurangkan alergen yang berpotensi dalam persekitaran tidur anda (seperti tempat tidur, debu, bulu haiwan peliharaan, dan sebagainya) dan seterusnya mengurangkan dengkuran.
8. Pembedahan dan CPAP machine
Jika tiada kaedah standard yang disebutkan di atas berjaya mengurangkan dengkuran anda, maka rujuklah ke klinik telinga, hidung dan tekak mengenai masalah anda. Kemungkinan pembedahan atau penggunaan CPAP(Continuous Positive Airway Pressure) machine boleh dianggap sebagai jalan terakhir.
Sumber- Dr Ezairy M.Sallih
0 Comments