25 Jan - Baru-baru ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan satu kenyataan menerusi laman web Ketua Pengarah Kesihatan yang menasihati serta menggesa orang ramai untuk mengelak daripada membeli produk-produk berkenaan.
Berikut adalah kenyataan penuh dari KKM mengenai produk-produk yang mengandungi racun berjadual.
Produk-produk yang dinyatakan ini dipercayai mengandungi racunberjadual yang merbahaya untuk pengguna. Notifikasi produk kosmetik yang terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesahan bahan racun berjadual berkenaan.
Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA.
0 Comments