Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayuddin berkata, laporan ujian kimia dari Jabatan Kimia itu perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut berhunung kes berkenaan. buat masa ini pihak KPDNKK masih menunggu laporan tersebut dan akan cuba mendapatkannya secepat mungkin.
"Sekarang kita tidak boleh memberi maklumat lanjut kerana laporan kimia belum diperoleh, apabila sudah sahih baru kami boleh keluarkan arahan berhubung isu ini ke seluruh negara," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp di Putrajaya hari ini.
KPDNKK juga akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) petang ini bagi membincangkan isu yang tular baru-baru ini.
Dalam Operasi Produk Tiruan yang dijalankan kira-kira 12 tengah hari di premis di Iskandar Puteri, Mutiara Rini, Taman Orkid, Nusa Bestari dan Taman Daya itu, tiga daripada lima premis itu didapati menjual susu rumusan bayi (langkah satu) terbabit pada harga sama dengan yang asli.
Pengarah KPDNKK Johor Khairul Anwar Bachok dipetik berkata, hasil siasatan mendapati lima premis itu adalah rangkaian perniagaan yang dimiliki syarikat berdaftar yang sama dan pemilik semua premis perniagaan iaitu lelaki berusia 50-an itu mendakwa tidak sedar mengenai susu yang disyaki tiruan berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, hasil rampasan semua kotak susu dianggar bernilai RM42,000 dan pihaknya masih menunggu laporan dari Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungan sebenar semua susu yang dirampas.
Sumber: Harian Metro
0 Comments