BENTONG - Penjgunjung kompleks beli - belah di pusat peranginan Genting Highlands, di sini, gempar selepas menyaksikan seorang wanita maut akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan tersebut, semalam.
Dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 2.21 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Zainuddin Abdul Hamid, orang awam menemui mangsa dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di tingkat bawah.
Jelasnya, mangsa dipercayai terjatuh pada awalnya, bagaimanapun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa dipercayai berseorangan dan terjatuh dari ketinggian hampir 25 meter.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi.
Zainudin berkata, keterangan keluarga dan rakannya diambil bagi membantu siasatan
Mayat diserahkan kepada keluarga sebaik proses bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Bentong dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber- Sinar Harian
0 Comments