Hanya Serah Slip Dan Tidak Umum Keputusan UPSR Demi Jaga Emosi Murid Gagal, Ibu Bapa Puji Tindakan Sekolah


Ibu bapa calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima baik langkah pihak sekolah agar tidak meraikan dan membuat pengumuman berkenaan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu, hari ini.

Menurut Norhidayu Abdul Ghani, 47, pendekatan tersebut mampu menjaga emosi calon khususnya yang gagal peroleh keputusan cermelang.

"Bagi saya, bukan sahaja calon bahkan emosi ibu bapa juga perlu diberi perhatian, ada kalangan anak-anak akan tersentuh emosinya dan berkecil hati melihat rakan-rakan yang cemerlang diraikan.

"Lebih menyedihkan apabila akan berlaku perbandingan keputusan antara pelajar yang cemerlang dan juga sebaliknya jika ia diumumkan pihak sekolah," katanya yang hadir menemani anaknya mengambil keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda, Seksyen 4, di sini hari ini.


Jelasnya, UPSR bukanlah penentu masa depan buat para pelajar kerana mereka akan berhadapan lebih banyak peperiksaan dan ujian pada masa akan datang.

"Saya selalu nasihatkan anak-anak jika mereka sudah belajar bersungguh-sungguh dan berusaha untuk cemerlang namun nasib tidak menyebelahi mereka, itu bukanlah pengakhiran kehidupan.

"Perjalanan hidup mereka masih jauh yang perlu ditempuhi, apa yang penting sebagai ibu bapa kena beri nasihat dan dorongan yang kuat untuk anak-anak," katanya.

Sementara itu, SK Raja Muda, Seksyen 4 hanya menyerahkan slip keputusan kepada kesemua calon tanpa membuat sebarang pengumuman terhadap kira-kira 219 calon hari ini.

Bagi menyahut saranan Kementerian Pendidikan yang meminta pihak sekolah meraikan semua calon UPSR yang diumumkan, bukan hanya tertumpu kepada murid yang memperoleh semua A.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, segala usaha dilakukan murid dan guru perlu diraikan secara keseluruhannya, bukan secara terpilih atau berkumpulan.

Sumber - Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments

loading...