ALOR SETAR - Lima beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kereta MPV yang dinaiki bertembung dengan trailer mengorbankan kedua ibu bapa mereka.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 11.30 malam di Jalan Alor Punti, Pendang itu, kelima-lima beradik terbabit parah.
Menurut BH Online, kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Titi Haji Idris menghalan ke rumah mereka di Taman Setia, Pendang.
Dua mangsa yang terkorban adalah bapa, Mohd Padzil Rashid, 50, dan ibu kepada lima beradik berkenaan, Masmiwaza Mohd. Noor, 42.
Mohd. Padzil dan Masmiwaza merupakan guru masing-masing bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang dan SMK Tobiar.
Empat anak mereka yang parah ialah Masyitah, 12; pasangan kembar iaitu Muhammad Asyraf, 11 dan Muhammad Akmal; Munirah, 7, dan Maisarah.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila MPV tersebut terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler.
"Pemandu maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE
Sumber: Kosmo!
0 Comments