Assalamualaikum Cinta | Drama yang diadaptasi daripada novel, Assalamualaikum Cinta dibintangi oleh beberapa pelakon hebat antaranya Syarul Ridzwan, Kamal Adli, Emma Maembong, Ayda Jebat, Ku Faridah, Wan Raja, Ieka Simone, Zalfa Zin dan ramai lagi. Drama ini diarahkan oleh Michael Ang dan diterbitkan oleh Dark Wave Pictures Sdn Bhd.
Assalamualaikum Cinta mengisahkan tentang dua orang kawan baik iaitu Azrif dan Rykal yang menjalankan misi bagi memikat dua orang gadis, Emma dan Nia yang dikenali dengan tak sengaja. Misi mereka adalah mana-mana gadis yang akan melafazkan perkataan I Love You dahulu kepada mereka, dia yang akan memenangi pertaruhan tersebut.
Emma sememangnya seorang yang tidak sukakan dengan lelaki kaya sejak dari kecil lagi. Pada hematnya, lelaki kaya merupakan seorang lelaki yang suka berlagak dan menggunakan harta yang dimiliki mereka bagi mempermainkan hati dan perasaan perempuan. Contoh yang terdekat ialah abang iparnya bernama Daniel yang selalu berkasar dengan kakaknya iaitu Natasya.
Perkenalan dengan tidak sengaja bersama Azrif Iqbal seolah-olah membawanya ke dalam mimpi ngeri. Dia tidak suka dengan sikap lelaki tersebut yang suka memaksa untuk menerimanya sebagai kawan.
“Aku rasa baik kau bawa bunga ni bagi kat girlfriend kau. Sepatutnya kau bagi kat dia bukannya kat aku”. – Emma Harlini
“Aku pelik. Kenapa susah sangat kau nak terima, eh? Aku bukannya suruh kau bayar pun!” – Azrif Iqbal
Bagi Nia pula, perkenalannya dengan Rykal kerana berebutkan ruang parkir kereta membawa satu perubahan dalam hidupnya. Tambahan pula ayahnya merupakan seorang yang amat tegas dalam mengawal kebebasannya untuk berkawan dengan lelaki.
“Parking tu kau punya ke? Setahu aku tak ada pula tulis nama siapa-siapa kat situ?” – Rykal Safuan
“Sahlah kau ni jenis yang tak ada budi bahasa. Tadi kau cilok aku punya parking. Sekarang kau dengan muka tak bersalah pula langgar mak aku. Dahlah langsung tak reti nak mintak maaf. Bro, muka handsome, kereta sikit punya gah tapi otak kalau otak tu out tak ada guna, bro… Confirm diharamkan jadi menantu kalau pesen perangai macam ni!” – Nia Sakinah
Meskipun dihamburkan dengan berbagai kata-kata amaran, Azrif dan Rykal tetap gigih dalam melaksanakan misi mereka. Pada mulanya, Emma dan Nia tak suka dengan semua itu akhirnya menyedari yang sebenarnya hati mereka sudah mula terpaut suka pada Azrif dan juga Rykal.
Kerana terlalu teruja dengan misi mereka yang sudah berjaya, akhirnya misi mereka kantoi juga pada malam yang sama. Ketika itu, serta-merta Emma dan Nia memutuskan untuk tidak berjumpa dengan mereka berdua lagi.
“Awak ingat saya ni barang permainan ke? Barang ke? Suka hati awak aje nak buat pertaruhan? Saya memang tak sangka, orang yang saya betul-betul ikhlas sayang dan cinta dia rupa-rupanya ada tujuan lain.” – Emma Harlini
“Nasib baik negara ni ada undang-undang. Kalau tak, aku pun tak tahulah nak cakap macam mana, mahu aje aku sembelih sekor-sekor.” – Nia Sakinah
Saat itu, Azrif dan Rykal mula susah hati. Mereka berdua sedar yang misi mereka itu sebenarnya sudah membuat mereka mula jatuh cinta pada Emma dan juga Nia. Namun ketika itu semuanya seperti sudah terlambat, nenek mereka berdua telah membuat keputusan mengejut untuk mengikat tali pertunangan mereka berdua dengan calon pilihannya sendiri.
Jangan lupa untuk menyaksikan Assalamualaikum Cinta yang akan ditayangkan pada jam 10 malam setiap hari Isnin hingga Khamis mulai 30 Mei 2016 hanya di Astro Ria.
The post Assalamualaikum Cinta appeared first on Media Sensasi.
0 Comments